Saturday, April 2, 2011

Penulisan: Personaliti dan Cara Pembelajaran Murid Pintar Cerdas

Istilah pintar cerdas telah mula digunakan oleh Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pada tahun 1982 melalui projek BAKAnya di bawah pimpinan Profesor Madya Azman Wan Chik. Pada dasarnya istilah pintar cerdas merujuk kepada istilah “gifted” dalam bahasa Inggeris.Istilah “Gifted” dalam bahasa Inggeris pada asalnya ditujukan kepada individu-individu yang memiliki tahap kecerdasan pencapaian akademik yang tinggi. Guy M.Whipple telah dianggap orang yang bertanggungjawab memperkenalkan istilah “gifted”sebagai suatu istilah rasmi bagi merujuk kepada kanak-kanak yang memiliki kebolehan intelek yang luar biasa pada tahun 1920-an. Kamus dewan mengistilahkan pintar cerdas sebagai cekap dan pandai, manakala cerdas didefinisikan sebagai sempurna akal. Menurut Susan K.Golant di dalam bukunya “The Joys and Challengers Of Raising a Gifted Childs” berpendapat, kanak-kanak pintar cerdas menunjukkan minat yang tinggi dalam belajar,curiga dan mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi kepada persekitaranserta berupaya menggabungkan beberapa maklumat dalam menghasilkannya. Umum pula mentakrifkan pintar cerdas sebagai kepandaian luar biasa yang dimiliki oleh individu. Individu yang dikatakan pintar cerdas ini mempunyai kebolehan luar biasa memahami dan mengadaptasi segala cabaran persekitaran kepada hidup dan mindanya.Stanford Binet (1916) adalah orang yang pertama menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford Binet Test” telah memberikan definisi pintar cerdas merujuk kepada keupayaan individu memahami, membuat pertimbangan dan penaakulan dengan baik. Lewis Terman (1916) pula memberikan definisi pintar cerdas sebagai seseorang yang berkebolehan untuk berfikir secara abstrak.


Jika dikaji dari sudut semantiknya, istilah pintar cerdas itu mungkin tidak begitu sukar untuk difahami. Namun demikian dalam konteks pengertian operasi atau teknikalnya istilah itu merupakan suatu konsep yang luas yang telah membawa kepada percanggahan pendapat antara sarjana-sarjana pendidikan. Pelbagai bentuk definisi telah dikemukakan oleh pelbagai pihak. Davis dan Rimm (1985) telah memebahagikan definisi itu kepada lima kategori berdasarkan pembahagian yang telah dibuat oleh Stankowski pada tahun 1978.


Pertama : Definisi yang berasaskan tahap pencapaian cemerlang dalam sesuatu bidang yang diceburi oleh seseorang. Definisi dalam kategori ini menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang dapat menunjukkan pencapaian cemerlang secara berterusan dalam sesuatu bidang atau kegiatan yang berfaedah kepada manusia adalah pintar cerdas. Bagaimanapun definisi seperti ini dianggap tidak sesuai digunakan dalam konteks pendidikan kerana definisi menekankan kepada eviden kejayaan yang dicapai oleh seseorang dalam hidup.


Kedua : Definisi yang berasaskan markah pencapaian dalam satu-satu ujian kecerdasan (IQ Test) seperti Stanford Binet IQ Test, Ujian kecerdasan MENSA, dan sebagainya. Seseorang itu dianggap sebagai pintar cerdas jika ia dapat mencapai suatu tahap markah yang tertentu dalam sesuatu ujian itu. Contohnya Lewis Terman mengambil tahap I.Q 140 ke atas sebagai “Gifted” dalam menjalankan satu kajian di California, Amerika Syarikat pada tahun 1920-an. Dengan kata lain, pintar cerdas bermaksud seseorang yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam sesuatu ujian kecerdasan. Definisi seperti ini paling mudah difahami dan meluas digunakan. Namun demikian bukanlah bermakna bahawa defini ini yang terbaik dan tepat. Sebaliknya pada waktu terakhir ini hampir semua sarjana dalam bidang ini bersetuju mengatakan bahawa ujian kecerdasan bukanlah suatu alat pengukur yang tepat dalam meramalkan kepintaran seseorang.


Ketiga : Definisi yang berdasarkan peratusan. Mereka yang mencapai pencapaian tertinggi antara 3 hingga 5% dalam ujian yang diberikan dianggap sebagai golongan pintar cerdas. Ini bermakna “pintar cerdas” adalah mereka yang tergolong dalam kumpulan 3 hingga 5% yang mencapai markah tertinggi berdasarkan ujian-ujian pencapaian. Definisi ini dianggap sebagai terlalu umum dan telah dikritik hebatnya oleh sarjana-sarjana seperti Joseph Renzuli, Reis dan sebagainya.


Keempat : Definisi yang berasaskan bakat semula jadi dalam sesuatu bidang atau beberapa bidang tertentu. Seseorang yang memiliki bakat semula jadi yang menonjol dalam sesuatu bidang khasnya dalam konteks potensi intelek atau mental dianggap sebagai pintar cerdas. Dalam konteks definisi ini telah timbul persoalan untuk membezakan antara unsur cerdik dan unsur bakat. Bakat merupakan suatu kebolehan semula jadi yang dimiliki seseorang yang sering juga tidak diiringi oleh keupayaan yang disebut “cerdik dan cerdas”.


Kelima : Definisi yang berlandaskan unsur-unsur kreativiti. Dalam definisi ini, daya kreatif seseorang itu dijadikan kriteria utama dalam menilai tahap kepintarannya. Orang yang dikatakan pintar cerdas ialah orang memiliki daya kreatif yang tinggi dalam lisan. Manakala orang yang berbakat pula ialah orang yang memiliki daya kreatif yang tinggi dalam aspek bukan lisan seperti tarian, lukisan dan sebagainya. Definisi ini tidak mendapat sambutan dari kalangan pakar program pendidikan pintar cerdas kerana terdapat kekaburan hubungan antara “daya kreatif” dengan “kecerdasan” menjadikan definisi ini semakin mengelirukan.


Dalam konteks yang lebih khusus dan praktikal pula terdapat dua definisi yang popular. Pertama, definisi yang dikenal sebagai definisi Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (U.S. Office of Education (U.S.O.E.) Defination ), dan kedua definisi yang dikenal sebagai definisi tiga bulatan – Renzulli (The Renzulli Three – Ring Model ). Pada tahun 1972, Sidney Marland Jr., Pesuruhjaya Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negara, Amerika Syarikat telah mengemukakan suatu laporan kepada kongres Amerika tentang pendidikan pintar cerdas di negara itu. Dalam laporan itu, Marland telah mengemukakan satu definisi pintar cerdas. Beliau mengatakan bahawa kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ialah kanak-kanak yang memiliki kebolehan yang tinggi dan berkeupayaan mencapai kecemerlangan. Definisi U.S.O.E juga menjelaskan bahawa kanak-kanak yang berkeupayaan tinggi itu meliputi mereka yang telah menunjukkan pencapaian atau kebolehan dalam salah satu daripada bidang-bidang berikut iaitu keupayaan intelektual am, kecenderungan akademik khusus, pemikiran kreatif atau produktif, keupayaan memimpin, seni tampak dan seni persembahan, dan keupayaan psikomotor.


Definisi yang dikemukakan oleh Marland ini telah dijadikan sebagai definisi rasmi kepada Akta Projek Khas pendidikan pintar cerdas di Amerika Syarikat oleh Kongres Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, definisi ini masih juga dianggap tidak sempurna oleh beberapa pihak tertentu kerana ia telah mengenepikan elemen-elemen motivasi sebagai suatu elemen penting dalam konsep pintar cerdas


Pada tahun 1978 Joseph Renzulli telah mengemukakan definisi tiga bulatan. Renzulli membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga ciri atau tiga sifat utama yang dimiliki oleh individu pintar cerdas. Pertama, keupayaan intelek yang tinggi, kedua , daya kreatif dan ketiga, motivasi atau komitmen yang tinggi dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Berasaskan dapat ini, Renzulli bukan sahaja telah mengemukakan suatu bentuk definisi yang berbeza daripada definisi-definisi yang lain, malahan sekali gus mengemukakan suatu prosedur identifikasi yang dikenal sebagai Revolving Door Identification Process (RDIM).


Walaupun Renzulli telah mengemukakan hujah yang penjang tentang latar belakang dan rasional definisinya, namun beliau masih tidak dapat amenyakinkan semua orang tentang ketepatan definisinya. Definisi yang dikemukakan oleh Renzulli tidak tepat atau tidak praktikal oleh pihak-pihak tertentu kerana tidak sesuai digunakan untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas dan ia hanya sesuai pada individu-individu yang telah dewasa dan berjaya.


Jika kita terus mengikuti masalah definisi ini dengan harapan untuk mendapatkan definisi yang terbaik dan diterima oleh semua pihak maka jawapannya sudah pasti tidak menemukannya.Oleh itu, para pendidik disarankan supaya memilih atau menentukan sendiri apakah definisi “pintar cerdas” yang sesuai digunakan dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip asas.
Setelah kita mengetahui apa itu pintar cerdas, kita juga perlu tahu satu aspek yang penting bagi kanak-kanak pintar cerdas iaitu personaliti. Perkataan personaliti merupakan perkataan daripada Latin iaitu ‘persona’ atau ‘personalitas’. Perkataan ini membawa maksud topeng atau rupa luaran yang ada pada seseorang termasuklah ciri-ciri dan kualiti dalaman.Personaliti merujuk kepada organisasi watak, perangai, intelek, bentuk badan cara pemikiran dan tingkah laku seseorang individu.Kanak-kanak pintar cerdas adalah kanak-kanak yang stabil dari segi kebijaksanaan dan mempunyai kelayakan yang mencukupi dari segi pencapaian IQ test sebagai kanak-kanak berbakat. Kanak-kanak pintar cerdas sama juga dengan kanak-kanak lain Cuma yang membezakan hanyalah kecerdasan yang tinggi.


Setiap orang adalah dilahirkan dengan mempunyai perwatakan yang berbeza.Setiap individu yang berbeza mempunyai kaedah penyelesaian yang berbeza. Ini mungkin kerana cara pemikiran setiap individu adalah tidak sama.Inilah keindahan kejadian manusia yang dicipta oleh penciptaNya.Menurut Kamarudin Hj. Husin (1996), personaliti seseorang itu dapat dibayangkan oleh kecenderungan sendiri untuk bertingkah laku mengikut cara yang tertentu.


Menurut Carver & Scheier (1998), personaliti mempunyai faktor penting dalam kehidupan seseorang individu. Personaliti mempengaruhi kelakuan seseorang individu. Ia melambangkan ciri-ciri keperibadian seseorang dan mencirikan perbezaan antara manusia dengan manusia yang lain. Menurut Heim (1978) dan Anida (2000), personaliti merupakan keseluruhan individu iaitu semua sifat keindividuan dan membezakan seseorang individu dengan individu yang lain.Personaliti adalah gabungan semua sentimen kecenderungan minat, kemahiran kehendak, ciri-ciri dan gaya yang membentuk setiap individu.Personaliti mencerminkan seseorang keseluruhan aspek tingkahlaku pada seseorang individu tetapi berbeza dengan individu tetapi berbeza dengan individu yang lain. Menurut Warren & Carmichael (1930), personaliti merupakan seluruh organisasi mental seseorang insan dalam semua peringkat perkembangannya.


Individu yang lahir dari keluarga yang berpecah belah adalah tidak sama personaliti dengan keluarga yang sempurna.Individu yang mempunyai pengalaman pahit dalam kehidupannya mungkin mempunyai personaliti yang berbeza dengan individu yang mempunyai kehidupan yang penuh kegembiraan dan keseronokan. Menurut Asmawati Baharudin dan Norhalim Ibrahim (1996), personaliti seseorang individu merangkumi aspek-aspek kecenderungan tingkah laku. Personaliti juga banyak dipengaruhi oleh faktor genetik dan faktor persekitaran. Personaliti dipengaruhi oleh faktor-faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman adalah faktor kebakaan dan keturunan, aspek-aspek fizikal, fisiologi dan biokimia, pengaruh endoktrin dan proses-proses pertumbuhan, kematangan dan tumbesaran. Faktor-faktor luaran ialah ibubapa, guru-guru, media, faktor sosial dan budaya, pengalaman hidup, kerencatan fizikal dan mental serta reaksi terhadap penyakit.


Dalam teori Dabrowski (1970) pula, menyatakan teori perkembangan emosi manusia adalah berkembang menerusi beberapa siri tahap yang dipengaruhi oleh “positive maladjustment”. Faktor yang terlibat dalam teori pembangunan Dabrowski (1970) ialah pembangunan dan keturunan, persekitaran dan faktor autonomi yang unik. Dalam teori ini juga memperkenalkan lima jenis “overexcitabilities” iaitu psikomotor, sensual, intelek, imaginasi dan emosi. Setiap individu yang dilahirkan mempunyai bakat dan potensi yang boleh diperkembangkan dan dipertingkatkan. Dengan kemajuan pada masa kini dan kemudahan dalam mendapatkan pelbagai jenis maklumat sedikit sebanyak memberi kesan yang besar terhadap perkembangan dan pertumbuhan fizikal, psikomotor dan emosi individu terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai potensi dan bakat yang laur biasa yang juga dikenali sebagai mereka yang pintar cerdas(gifted). Manusia mempunyai potensi kekuatan dan kelemahan tertentu. Mana-mana kekuatan dan kelemahan akan berkembang subur dengan banyak berdasarkan beberapa faktor seperti jiwa manusia, corak asuhan, kualiti pendidikan, persekitaran fizikal dan sosio budaya. Bakat yang dimiliki pelajar pintar cerdas ini perlulah diperkembangkan supaya ianya tidak dipersia-siakan. Untuk memperkembangkan potensi dan bakat yang dimiliki pelajar pintar cerdas ini, satu bentuk pendidikan khas perlu disediakan untuk pelajar pintar cerdas kerana mereka adalah aset yang penting kepada kemajuan negara. Negara memerlukan khidmat serta sumbangan mereka dari segi perkembangan ilmu, penciptaan ilmu dan pembangunan ekonomi untuk mampu bersaing dengan negara-negara lain(Nik Azis, 1999).


Menurut Allport (1961), personaliti boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kesan luaran, struktur dalaman dan pandangan positif. Pengertian personaliti terdapat dua pemahaman iaitu yang pertama ialah kemahiran sosial iaitu personaliti seseorang dinilai melalui cara seseorang berjaya mendapatkan tindak balas yang positif daripada orang lain dalam pelbagai situasi. Pengertian yang kedua ialah personaliti sebagai kesan yang diberikan oleh seseorang tentang dirinya kepada orang lain.
Menurut teori Psikologi Karl Jung, Catherine Briggs dan Isabel Myers telah menghasilakan empat dimensi personaliti iaitu dimensi Extravertion dan Introversion, dimensi Sensing dan Intuitive, dimensi Thinking dan Feeling dan juga dimensi Judging dan Perceiving.


Extraversion ialah personaliti luaran iaitu suka bergaul dengan orang ramai, suka bercakap, berjenaka, berfikiran terbuka, bertenaga bila berada dalam satu kumpulan, bercakap dulu sebelum berfikir, tidak suka menyatakan sesuatu dengan tulisan, tertarik dengan persekitaran luar, suka berkomunikasi secara verbal, menyampaikan idea secara langsung, suka pembelajaran secara perbincangan, sosial dan suka menonjolkan diri, sedia mengambil inisiatif dalam pekerjaan dan perhubungan.Kanak-kanak extravert ini mudah hilang kesabaran dan emosi cepat berubah.


Introversion (introvert) adalah bertentangan dengan extrovert iaitu pemalu, pendiam, suka menyendiri, mengelak dari berjumpa dengan orang ramai, beri peluang kepada orang lain dalam percakapan dan perbahasan serta berhujah. Kanak-kanak introvert ini suka menyatakan idea dalam bentuk tulisan dan tidak mengambil berat apa yang berlaku diluar tetapi mementingkan sifat diri seseorang. Ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas introvert juga menyuarakan pandangan dengan cara refleksi dan latihan mental. Ia juga memfokus secara mendalam kepada kehendak diri sendiri. Sifat kanak-kanak introvert ia suka mengambil inisiatif apabila sesuatu isu atau situasi penting kepada diri sendiri.


Personaliti Sensing (penderiaan) menggunakan secara praktikal sumber maklumat yang kukuh, jelas dan nyata, mental memikirkan keadaan semasa dan baik dalam memperkatakan pengalaman lepas.Kanak-kanak yang mempunyai personaliti sensing suka kepada fakta dan konkrit. Ini contohnya kanak-kanak akan mendengar maklumat yang jelas dan sesuatu maklumat itu mempunyai bukti yang kukuh.Ia juga suka memfokuskan kepada apa yang sebenarnya dan betul, memerhati dan mengingat secara lebih spesifik.Kanak-kanak jenis ini amat berhati-hati dan teliti apabila membuat sesuatu kesimpulan.Ia juga suka memahami idea atau pendekatan teori melalui aplikasi praktikal dan percaya kepada pengalaman.
Personaliti intuitive (intuisi) suka maklumat yang kabur, tekaan dan berkhayal , mereka menggunakan khayalan apa berkemungkinan yang akan berlaku, mental memikirkan masa hadapan dan ingatan mengutamakan kepada corak, mencari hubungan dan makna serta baik dalam pemahaman teori. Ciri-ciri intuisi adalah kreatif dalam imaginasi secara verbal. Kanak-kanak yang mempunyai personaliti intuisi dapat mengingat secara spesifik apabila dikaitkan dengan model. Kanak-kanak jenis ini cepat membuat kesimpulan dan ia mengikut firasatnya sahaja.


Personaliti yang seterusnya ialah Thinking (berfikir). Thinking (berfikir) mengutamakan tugas dan pekerjaan yang sempurna, pencarian kepada fakta yang logik dalam membuat keputusan. Contohnya kanak-kanak jenis ini akan mencari alasan yang kukuh berdasarkan kepada fakta dan akan membuat keputusan. Personaliti jenis ini ia akan menyediakan objektif analisa yang kritikal dan mengakui perselisihan faham dengan manusia sebagai hubungan yang biasa. Kanak-kanak personaliti pemikir ini ia selalunya memikirkan sesuatu masalah secara analitik dan menyelesaikan masalah secara logikal dan berazam untuk mencapai kebenaran yang objektif. Ia juga tegas dalam pemikirannya iaitu pendiriannya tetap dan tidak berdolak dalih. Kanak-kanak jenis ini mahukan keadilan dan mahu dilayan secara sama rata.


Feeling (perasaan) mengutamakan pertimbangan antara kehendak dan tindakan manusia, bersetuju kepada cadagan yang popular, pencarian menggunakan perasaan manusia dalam membuat keputusan dan tidak bersetuju dalam perselisihan faham serta mengambil tindakan diluar dugaan. Kanak-kanak yang mempunyai personaliti emosi ia dapat menyelami perasaan orang lain dan ia dipandu oleh nilai-nilai peribadi. Ciri-ciri lain kanak-kanak yang beremosi ini ia menilai kesan keputusan ke atas orang lain, berazam dalam keharmonian dan interaksi yang positif, belas kasihan, berhati lembut dan mempunyai sikap keadilan yang tinggi.


Judging (penghakiman) membuat rancangan lengkap sebelum sesuatu tindakan, elakkan tekanan perasaan hingga ke garisan terakhir dalam menjalankan tugas, meletakkan target dan menilai masa sebagai aturan hidup.Kanak-kanak yang mempunyai ciri personaliti mengadil ini lebih menumpukan mempunyai jadual dalam menjalankan sesuatu tugasan. Mereka mempunyai perancangan jangka panjang dan jangka pendek yang lebih tersusun dan teratur. Kehidupan mereka lebih sistematik dan lebih berstruktur, ini berkemungkinan kanak-kanak jenis ini mempunyai aspek perancangan yang telah ditetapkan dan mempunyai sasaran tertentu untuk dicapai. Mereka akan cuba mengelak dari melakukan tugasan pada saat akhir. Ini mungkin mereka merasakan tidak dapat memberi yang terbaik bagi tugasan yang dibuat pada saat akhir.


Personaliti kanak-kanak pintar yang terakhir ialah perceiving (pengamatan) lebih selesa bergerak dalam membuat tindakan terus tanpa rancangan, toleransi dengan tekanan perasaan dalam bekerja. Kanak-kanak ini lebih menggemari kepelbagaian dan kebebasan dalam matlamat kehidupan. Menurut Mohd Salleh Lebar (1995), pengamatan merupakan suatu proses individu mentafsir kederiaan, ransangan dan memberi makna kepadanya. Ia juga adalah kesedaran dan reaksi seseorang individu terhadap ransangan-ransangan yang bersifat peribadi. Pengamatan juga pola-pola bermakna. Sebenarnya tidak berlaku secara automatik, tetapi mengambil masa yang lama iaitu melalui pentafsiran dan pemahaman yang teratur. Proses pengamatan dibahagikan kepada dua tahap iaitu pengamatan asas dan pengamatan sekunder. Pengamatan asas merujuk tindakan ingatan kederiaan memegang seketika maklumat yang diterima daripada alam sekitar. Kanak-kanak pintar cerdas mempunyai tahap pengamatan yang tinggi iaitu ia boleh mendapatkan maklumatsecara terus berkaitan alam sekitar. Maklumat yang datang dari organ-organ deria perlulah terlebih dahulu diorganisasikan dan diinterpretasikan sebelum dapat difahami. Tidak semua maklumat yang masuk ke dalam organ panca indera pada suatu masa dirasakan secara sedar (Malcom Hardy dan Steve Heyes, 1985). Secara kesimpulannya, pengamatan berkait rapat dengan interpretasi dan sensasi. Ia juga dikatakan berlaku dalam minda apabila kita memahami apa yang berlaku. Sebenarnya pengamatan setiap individu adalah berbeza. Ini adalah kerana pengamatan adalah proses pencerapan ransangan melalui lima pancaindera.


Jika kita lihat kanak-kanak pintar cerdas bukan sahaja mempunyai personaliti yang baik tetapi mereka mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Oleh demikian apa yang kita maksudkan dengan gaya belajar?Gaya belajar adalah satu cara dimana seseorang itu mengambil, memahami dan mengingati sesuatu maklumat. Gaya pembelajaran adalah cara seseorang itu belajar dengan baik. Gaya pembelajaran dirujuk sebagai cara individu memproses maklumat. Gaya dihuraikan sebagai mod tipikal pemikiran, mengingati ataupun menyelesaikan masalah seseorang individu.Menurut Messick (1976), kajian yang dijalankan mengenal pasti kaitan antara gaya kognitif dengan pembelajaran. Sebagai contoh, individu yang mempunyai gaya bebas lapangan belajar secara efektif dibawah keadaaan motivasi intrinsik dan kurang dipengaruhi oleh pengukuhan sosial. Menurut Rita Dunn, Karen Burke & Janet Whitely mengatakan tidak ada gaya pembelajaran yang baik atau yang buruk, setiap orang boleh belajar mengikut gaya tersendiri. Namun begitu, terdapat ibubapa dan guru yang tidak faham dan juga tidak dapat menerima bentuk pembelajaran anak-anak yang pelbagai cara. Pembelajaran yang berkesan mestilah mempunyai matlamat yang jelas akan meningkatkan proses pembelajaran. Pembelajaran pelajar meningkat jika pembelajaran bermula daripada tahap pengetahuan sedia ada. Pengajaran yang tersusun dan jelas akan meningkatkan proses pembelajaran pelajar pintar cerdas. Ibubapa sebenarnya meragui bagaimana cara anak-anak cuba belajar dan menggalakkan anak-anak yang belajar cara yang salah. Keadaaan ini sangat bersesuaian dengan gaya pembelajaran anak-anak berbakat berbanding dengan pelajar lain.


Terdapat beberapa teori pembelajaran yang mempunyai kaitan dengan pelajar pintar cerdas. Teori pembelajaran sosial mengatakan kelakuan manusia saling bertindak antara kognitif, kelakuan dan ejen penentu persekitaran. Teori pembelajaran sosial kognitif menekankan peranan kognitif dan juga peranan persekitaran dalam perkembangan. Menurut Dr. Lynn Curry , beliau telah mempelajari peningkatan teori gaya pembelajaran membina “Onion Model” pada tahun 1987. Model ini menerangkan bahawa teori pembelajaran boleh dibahagikan kepada tiga lapisan asas seperti bawang. Yang pertama ialah “Insructional Preference” iaitu lapisan luar menunjukkan bahawa persekitaran pelajar adalah penting untuk gaya pembelajaran. Adakah pelajar suka mendengar maklumat yang baru?Adakah mereka suka pada visual maklumat baru? Teori ini percaya seseorang pelajar itu lebih suka menerima pengetahuan baru melalui persekitaran yang berbeza. Yang kedua ialah “Information Processing Style” iaitu dalam lapisan pertengahan ini pula mengandungi teori pembelajaran yang memfokuskan kepada bagaimana strategi pelajar untuk memproses maklumat.Lapisan yang ketiga dan terakhir iaitu “Cognitive Personality style” dimana lapisan yang paling dalam mengakui bahawa ciri-ciri asas keperibadian seseorang pelajar itu memberi keutamaan untuk belajar. Ketiga-tiga lapaisan ini sangat berkait antara satu sama lain.


Terdapat banyak teori gaya pembelajaran yang berbeza. Bagaimana gaya pembelajaran pelajar pintar cerdas.Dr. Linda Silverman telah mendirikan Pusat Pembangunan Berbakat (Gifted Development Center) lebih 30 tahun yang lalu dan telah menguji beribu-ribu anak-anak berbakat. Hasil dari pengalaman pengujian tersebut didapati bahawa perbezaan utama dalam gaya pembelajaran adalah berdasarkan kepada pemikiran anak-anak. Terdapat 6 jenis pemikiran iaitu pemikiran analitikal, Vertikal, Kritikal, Kreatif, Lateral dan Paralel. Pemikiran-pemikiran ini sangat berkait dengan kemampuan otak kiri dan otak kanan. Pada tahun 1981 beliau telah mencipta satu istilah “Visual-Spatial Learner (VSL)” untuk orang-orang yang didominasi oleh otak kanan dan “Auditory-Sequential Learner” untuk orang-orang yang didominasi oleh otak kiri.


Menurut (Sternberg & Grigorenko,1993) bukan hanya anak-anak berbakat sahaja yang boleh belajar banyak tetapi bagaimana mereka belajar yang pada kebiasaannya amat berbeza dengan anak-anak yang seusia dengan mereka. Gaya pembelajaran yang paling berkesan ialah bergantung kepada tugasan yang diberi kepada mereka. Menurut (Shore Dover 1987) gaya pembelajaran yang bersesuaian atau fleksibel dalam pembelajaran adalah penting untuk mencapai kejayaan tertinggi.


Motivasi amat penting dalam pembelajaran kerana ia dapat mencetuskan dan meransangkan minda kepada yang lebih mencabar.Menurut (Baska 1989, Greder 1986, Cited by Ebert 1994, Perleth 1993) apabila kanak-kanak ini berhadapan dengan persekitaran yang mencabar dan mencetuskan minda mereka, kanak-kanak ini akan bersungguh-sungguh ingin tahu dengan lebih lanjut dan mendalam terutama dalam aspek naturalis.Dalam aspek ini kanak-kanak suka aktiviti luar seperi bersiar dan kembara.Mereka menggemari bunyi haiwan dan alam semulajadi Mereka juga akan berusaha untuk mengetahui lebih mendalam dan memahami keadaan itu pada peringkat awalan usia mereka. Menurut (Morelock & Morrison 1996) kanak-kanak pintar cerdas ini mempunyai keinginan yang kuat untuk menguasai kemahiran yang baru yang mana memerlukan mereka menggunakan daya imaginasi yang tinggi. Apabila cabaran diberikan, kanak-kanak ini akan bersedia menggunakan tenaga dan perhatian untuk melaksanakan tugas disamping untuk membina kecekapan minda mereka dalam menyelesaikan masalah. Kanak-kanak ini juga akan bermotivasi untuk mencuba tugas baru dimana mereka percaya mererka dapat menyelesaikan tugas itu jika ianya bersesuaian dengan kemahiran dan minat mereka. Kanak-kanak ini tidak bermotivasi untuk melakukan tugas-tugas yang tidak mencabar minda mereka seperti menghafal dan aktiviti pengulangan atau latih tubi. Kanak-kanak jenis ini juga tidak berminat jika mereka merasakan tidak mampu untuk mencapainya iaitu perkara yang tidak mendatangkan kejayaan pada mereka.


Kemahiran yang seterusnya ialah Attention Skill ( kemahiran pemerhatian). Kemahiran pemerhatian ini iaitu gambaran terhadap kemahiran pemerhatian oleh kanak-kanak pintar cerdas bercampur kerana terdapat kekeliruan diantara pelbagai bentuk pemerhatian yang mereka lakukan. Terdapat empat jenis pemerhatian menurut Zentell iaitu “maintaning a level of arousal”, coming to attention, maintaning attention overtime danselective attention. Maintaning a level of arousal iaitu kanak-kanak yang digambarkan sebagai seorang yang sangat peka kepada keadaan persekitaran mereka berbanding dengan kanak-kanak yang lain. Kanak-kanak pintar cerdas yang kadang-kadang dikaitkan dengan pola tidur yang buruk walaupun ada sedikit bukti tentang hal ini.Yang kedua iaitu coming to attention dimana kanak-kanak lebih memfokus kepada aktiviti yang dilakukan. Kanak-kanak pintar cerdas ini menunjukkan minat dan keutamaan kepada ransangan yang baru dan kecenderungan untuk melihat. Jika ransangan diulang maka mereka akan hilang tumpuan dan minat mereka. Ini adalah kerana kanak-kanak pintar cerdas akan memfokus kepada aktiviti yang dapat meransangkan minat dan keupayaan mental mereka.


Jenis pemerhatian yang ketiga ialah maintaning attention over time. Pemerhatian jenis ini ialah ketekalan mereka menumpukan sesuatu tugasan pada masa yang lebih lama. Apabila aktiviti yang diberi mencabar minda mereka, tumpuan mereka lebih lama dan akan menyelesaikan tugasan dengan lebih baik. Jikalau aktiviti tidak mencabar minda mereka akan melakukan tugasan dengan lambat dan sambil lewa sahaja dan seterusnya tugasan yang dijalankan tidak dapat disiapkan. Jenis pemerhatian yang terakhir ialah selective attention. Pemerhatian jenis ini menuntut kanak-kanak memilih sesuatui ransangan yang boleh menarik minat mereka. Kemahiran ini memerlukan mereka mencapai kemahiran meta kognitif yang tinggi. Kemahiran ini biasanya tidak sesuai bagi kanak-kanak yang baru memulakan sesi pembelajaran kerana ia memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Kanak-kanak ini perlu melakukan aktiviti secara serentak dan ia perlu memilih aktiviti mana yang lebih penting untuk memajukan diri mereka..


“Locus of Control” adalah faktor dorongan yang ketiga dimana kanak-kanak dapat belajar melalui pengalaman yang lepas. Jika ada apa-apa yang berlaku terhadap diri mereka , ini adalah berpunca daripada diri mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka sendiri yang mengawal sesuatu keadaan.Menurut Dr. Kenneth dan Rita Dunn (1978) mengatakan setiap manusia memiliki gaya belajar dan setiap manusia juga ada kekuatannya, oleh demikian kita dapat lihat kanak-kanak pintar cerdas ini mempunyai kekuatannya tersendiri iaitu mereka mengawal aktiviti mereka sendiri. Terdapat dua situasi iaitu satu keadaan mereka boleh menerina kejayaan dan kegagalan, yang kedua kanak-kanak yang tidak boleh menerima menerima kegagalan mereka. Jika kanak-kanak pintar cerdas mengalami kegagalan, ini bukan disebabkan oleh kebolehan mereka tetapi disebabkan oleh kekurangan usaha mereka. Kanak-kanak pintar cerdas lebih suka belajar melalui kesilapan mereka dan memerlukan lebih ganjaran untuk mereka supaya dapat berusaha dengan lebih gigih untuk berjaya. Kanak-kanak pintar cerdas ini memiliki kemampuan komunikasi yang baik dan mempunyai hubungan interpersonal yang baik, mempunyai daya tumpuan yang tinggi, daya ketekunan mereka juga tinggi dan sentiasa mengkaji tindakan yang mereka lakukan.


Faktor dorongan yang terakhir ialah “independence”.Independence ialah kebebasan iaitu kanak-kanak pintar cerdas mempunyai sikap kendiri dan boleh berdikari secara semulajadi dimana ianya bertentangan dengan proses awal kanak-kanak. Perbezaan kemahiran kanak-kanak pintar cerdas berbanding kanak-kanak lain menjadikan mereka boleh membuat tugasan sendirian.Ada sesetengah kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada orang dewasa walaupun mereka mampu melakukannya. Kanak-kanak pintar cerdas lebih suka melakukan tugas secara sendirian dan apabila sudah mahir mereka tidak mahu melakukannya tetapi akan mencari tugasan baru yang lebih mencabar minda dan pengamatan mereka.


Secara keseluruhannya gaya pembelajaran kanak-kanak yang pintar cerdas berbeza dari orang lain. Sesetengah pelajar belajar terbaik dengan cara yang begitu berhati-hati sebelum memulakan pembelajaran mereka. Pelajar pintar cerdas lebih suka belajar dengan berinteraksi dengan orang lain, berfokus secara sendiri, suka mengetahui peraturan dan mematuhi nya. Untuk memperkembangkan keupayaan dan keyakinan seseorang pelajar memerlukan galakan dan sokongan supaya mereka dapat belajar secara semulajadi yang menjadi pilihan mereka seterusnya menjadikan mereka lebih berjaya.

by: Kalam

No comments:

Post a Comment