Saturday, April 2, 2011

Laporan Ilmiah Individu

1.0 Pengenalan

Setiap kanak-kanak mempunyai kebolehan yang berbeza. Kanak-kanak yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan seusianya dikenali sebagai kanak-kanak pintar cerdas. Kanak-kanak pintar cerdas ini biasanya merupakan individu yang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan. Mereka ini mempunyai perkembangan kognitif yang lebih baik berbanding kanak-kanak lain yang seusia mereka. Kanak-kanak pintar cerdas akan menunjukkan minat belajar yang tinggi serta perasaan ingin tahu terhadap persekitaran mereka. Definisi pintar cerdas ini telah diberikan buat kali pertama oleh Stanford Binet pada tahun 1916 yang mana menurut beliau definisi pintar cerdas adalah merujuk kepada keupayaan individu memahami, membuat pertimbangan dan penaakulan dengan baik. Beliau telah menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford- Binet Test” (Becker, 2003).

Namun begitu, Hasan (2006) menjelaskan konsep pintar cerdas sebenarnya tidak tertakluk kepada kejayaan individu dalam bidang akademik semata-mata. Kebolehan berkreatif dan bereksperimen termasuk menghasilkan bahan ataupun teori, kebolehan seni yang hebat juga adalah manifestasi kepintaran dan kecerdasan individu. Terdapat pelbagai kategori kanak-kanak pintar cerdas ini. Ada di antara mereka mempunyai ciri-ciri kemerlangan yang menyerlah dan menonjol manakala ada pula yang perlu diperhatikan dan dikenalpasti terlebih dahulu. Biasanya kanak-kanak seperti ini dikategorikan oleh guru dan ibubapa sebagai kanak-kanak yang sukar difahami.

Di Amerika Syarikat dan di Singapura, kurikulum khas berkenaan dengan murid pintar cerdas dan berbakat telah diwujudkan sejak beberapa tahun yang lalu. Sebagai contoh, akta pendidikan “No Child Left Behind Act (2001)” yang dibentangkan pada mesyuarat kongres Amerika Syarikat, jabatan pendidikan telah melakukan penambahbaikan terhadap sistem pendidikan negara mereka. Fokus kurikulum khas ini adalah bagi memenuhi keperluan pembelajaran murid pintar cerdas serta untuk mengembangkan tahap kemahiran mereka secara optimum. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berinovasi dan aktiviti-aktiviti lain telah direka khas seperti projek demonstrasi adalah untuk membina dan memperkembangkan bakat dan kebolehan murid pintar cerdas.

Manakala di Singapura, Kementerian Pelajaran Singapura telah memperkenalkan ‘Gifted Education Program (GEP)’ bermula pada tahun 1984 yang merupakan satu program khas untuk murid pintar cerdas mengikut tahap kepintaran mereka. Kementerian Pelajaran Singapura mempunyai komitmen yang tinggi dalam memastikan bahawa potensi murid-murid pintar cerdas dan berbakat ini dikenalpasti, dipupuk dan diperkembangkan ke tahap yang maksimum. Kementerian Singapura memandang serius dan komited terhadap program ini kerana merasakan bahawa adalah sangat penting memupuk potensi diri murid pintar cerdas yang seterusnya akan memberi sumbangan besar dalam masyarakat dan negara.

Manakala di Malaysia, masih belum terdapatkurikulum khas bagi murid pintar cerdas ini. Walau bagaimana pun , dilihat bahawa Program Permata Pintar diperkenalkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2010 diharap dapat memberi sumbangan terhadap perkembangan murid pintar cerdas ini.

.

2.0 Keperluan Kanak-Kanak Pintar Cerdas

Walau apa pun perbezaan antara kanak-kanak pintar cerdas ini, mereka tetap mempunyai satu persamaan iaitu memerlukan keperluan khas tertentu. Ini adalah penting kerana jika keperluan kanak-kanak ini tidak dipenuhi, ia akan menyebabkan masalah tekanan dari segi psikologi yang tinggi. Menurut Sheila (2001), program khas perlu diwujudkan bagi bagi membimbing kanak-kanak pintar cerdas ini yang mana program tersebut perlu direka bentuk khusus bagi memenuhi keperluan khas mereka serta memberikan mereka peluang yang adil untuk mengembangkan potensi diri mereka sepenuhnya.

Program pintar merupakan satu alternatif pembelajaran kepada kanak-kanak pintar dan berbakat. Program ini bukan hanya terdiri daripada kurikulum pembelajaran yang hanya berdasarkan kemahiran dan pengetahuan semata-mata tetapi kurikulum ini mestilah disusun supaya dapat menarik dan dijadikan pengalaman kepada mereka sekaligus menggilap atau mengasah lagi ilmu, kemahiran dan bakat yang telah ada pada mereka. Modul program seharusnya dapat menarik minat kanak-kanak pintar untuk belajar dengan lebih seronok lagi berbanding modul yang terdapat di sekolah yang kadangkala membuatkan mereka berasa bosan. Selain itu, semua bahan pengajaran yang disediakan kepada mereka adalah secara dirancang mahupun tidak dirancang atau dikenali sebagai bahan pengajaran modul aktiviti (Maker & Nielson, 1995). Program perlu direka kepada kanak-kanak pintar cerdas dengan pembelajaran yang lebih laju berbanding kanak-kanak biasa contohnya menyediakan ujian yang agak sukar dan kompleks serta sesuatu subjek yang mempunyai tahap kefahaman yang tinggi.

Salah satu keperluan yang paling penting adalah untuk memiliki stimulasi mental yang mencukupi. Oleh itu, adalah penting bagi guru atau ibu bapa supaya tidak memaksa mereka untuk melakukan perkara yang sama atau latihan yang sama berulang-ulang sehingga menyebabkan timbul rasa bosan. Perkara seperti ini sering berlaku di dalam kelas yang biasa. Murid pintar cerdas selalu diberi latihan yang sama berulang kali oleh guru kerana guru berpendapat bahawa dengan adanya latihan yang banyak ini akan mengukuhkan lagi pemahaman murid pintar cerdas ini. Perkara ini harus dielakkan. Sebagai guru atau ibu bapa, kita perlu mengetahui bahawa kanak-kanak pintar cerdas ini merupakan kanak-kanak yang mudah belajar dan dapat meguasai sesuatu perkara dengan cepat. Tindakan memaksa mereka melakukan perkara sama yang berulang kali yang langsung tidak menguji kemampuan mereka akan menyebabkan kanak-kanak pintar cerdas ini menjadi tertekan dan boleh menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar.

Oleh kerana murid pintar cerdas mempunyai bakat belajar dengan mudah, ramai di antara mereka tidak mengembangkan kemampuan belajar yang mencukupi. Biasanya perkara ini berlaku apabila mereka berada di kalangan kanak-kanak lain. Mereka sering merasakan bahawa dengan kepintaran yang mereka ada, mereka tidak perlu belajar. Oleh yang demikian adalah tugas guru untuk membetulkan fahaman mereka ini. Kanak-kanak ini perlu dibimbing agar mempunyai kaedah belajar yang baik. Ini adalah bagi membolehkan mereka berhadapan dengan persekitaran pembelajaran yang mencabar pada masa akan datang. Kanak-kanak pintar cerdas perlu dicabar kebolehannya dan mereka juga perlu belajar untuk mengembangkan kemampuan mereka bagi menangani cabaran-cabaran tersebut.

Kanak-kanak pintar cerdas juga perlu diberi peluang untuk berinteraksi dengan kanak-kanak pintar cerdas yang lain. Ini adalah bertujuan agar mereka dapat membina hubungan di antara satu sama lain. Selain itu, murid ini perlu diberi peluang untuk bertemu dan berinteraksi dengan individu pintar cerdas yang dewasa bagi mendapatkan nasihat dan bimbingan.

Menurut Winebrenner dan Espeland (2001), terdapat dua keperluan utama dalam memenuhi keperluan pembelajaran bagi murid pintar cerdas iaitu:

1) Pemadatan
Dari segi pemadatan, guru boleh memadatkan sesuatu isi pelajaran yang dirangka untuk setahun bagi semua murid kepada satu tempoh yang lebih singkat bagi murid pintar cerdas bersesuaian dengan tahap penguasaan mereka.

2) Pembezaan
Guru perlu menyediaan pembelajaran yang berbeza dari segi tugasan dan aktiviti berbanding murid yang lain di dalam kelas yang sama. Tugasan yang diberi perlulah mencabar dan menarik minat murid pintar cerdas ini untuk meneroka sesuatu dengan lebih mendalam. Tugasan sebegini dapat meghasilkan perkembangan pembelajaran yang baik pada diri murid pintar cerdas.

Menurut Winebrenner (2001) lagi, terdapat lima elemen penting dalam pembezaan ini iaitu:
i) Isi kandungan – guru harus menyediakan kandungan pengajaran yang menarik dan mencabar. Penggunaan isi kandungan perlulah lebih kompleks, kreatif dan kritis, mempunyai penghubungjalinan dengan mata pelajaran yang lain serta diperolehi dari pelbagai sumber.isi kandungan perlulah memberi fokus yang lebih kepada pemahaman murid bukan sekdar memperolehi maklumat sahaja.

ii) Proses – proses pembelajaran perlulah menggunakan kaedah pembelajaran yang mana murid pintar cerdas dapat membuat kesimpulan dan generalisasi terhadap sesuatu standard yang diperlukan. Proses pengajaran dan pembelajaran perlu menggalakkan pelbagai jenis pemikiran yang kreatif dan produktif, berfokus kepada jenis penyelesaian masalah serta sesuatu persoalan yang terbuka dalam situasi sebenar. Murid pintar cerdas perlu digalakkan untuk berkongsi hasil dapatan dan apa yang telah mereka pelajari.

iii) Produk – merupakan hasil pembelajaran yang diperolehi oleh murid yang mengilustrasi dan menunjukkan pemahaman mereka berkaitan isi kandungan dan proses yang mereka lalui. Kebanyakan murid pintar cerdas tidak menyukai tugasan berbentuk penulisan kerana pada asasnya otak mereka bergerak lebih pantas daripada tangan. Mereka lebih berminat mempersembahkan hasil produk mereka dalam bentuk nyata seperti membuat pameran, persembahan atau simulasi.

iv) Persekitaran – persekitaran memainkan peranan penting kerana persekitaran fizikal yang sebenar sangat membantu muridpintar cerdas dalam mengembangkan bakat dan dan kebolehan mereka. Pembelajaran di luar bilik darjah seperti menjalankan kajian dan tugasan lapangan dapat meningkatkan tahap penguasaan dan kemhiran mereka.
v) Penilaian - murid perlu diberi peluang yang konsisten menguasai atau mengalami sesuatu kemahiran sebelum meneruskan pembelajaran yang baru. Tahap kepintaran murid ini boleh diukur melalui penilaian tugasan yang diberi. Selain itu, murid juga perlu digalakkan untuk membina rubrik penilaian mereka sendiri berdasarkan tugasan yang diberi agar mereka dapat menilai sejauh mana tahap dan proses pembelajaran yang telah mereka lalui.


3.0 Strategi Pengajaran Bagi Kanak-Kanak Pintar Cerdas.
Pengajaran dan pembelajaran matematik bagi murid pintar cerdas perlulah dirancang dengan teliti oleh guru. Strategi pengajaran perlulah menggunakan kaedah dan teknik sesuai yang boleh membimbing dan menggalakkan murid mengembangkan idea dan bakat mereka dan seterusnya dapat meningkatkan kemahiran matematik mereka. Pembelajaran murid pintar cerdas perlu membolehkan murid membuat perkaitan antara satu perkara dengan perkara yang lain sehingga menghasilkan tindak balas yang baru (Woolfolk, 2004).
Sebagai guru, sesuatu perancangan yang dirangka untuk murid ini perlulah tersusun dan sistematik agar ia dapat menghasilkan percapaian murid secara optimum. Memahami pendekatan dan gaya pembelajaran seseorang murid itu dapat membantu para guru ke arah menghasilkan pengajaran berkesan. Strategi pengajaran yang efektif untuk memaksimakan pencapaian murid tersebut adalah penting. Penyediaan pembelajaran murid pintar cerdas dengan menggunakan bahan dan aktiviti yang menarik dan mencabar dapat menggalakkan kreativiti dan pembelajaran akses kendiri. Ini seterusnya dapat memberi peluang kepada murid membuat pilihan dan keputusan sendiri tentang bahan dan aktiviti yang ingin dilaksanakan. Bagi murid pintar cerdas, guru perlu melibatkan pemikiran cepat murid dalam tugasan intelektual dengan menggalakkan penjanaan idea dan penyelesaian masalah. Aktiviti yang direka guru perlu mencabar kognitif yang dapat mencambahkan idea-idea baru agar pemikiran mereka dapat diperkembangkan. Apabila kognitif mereka dicabar, perkembangan intelektual kompleks akan terhasil dan pemikiran mereka akan pergi ke arah yang lebih jauh.
Terdapat beberapa contoh strategi pengajaran dan pembelajaran yang boleh dilaksankan oleh guru bagi murid pintar cerdas ini seperti:
1) Pembentangan dan Pebincangan– guru perlu menggalakkan murid pintar cerdas membentangkan sesuatu hasil pembelajaran mereka kerana biasanya murid pintar cerdas ini mampu menggunakan konsep abstrak. Kaedah ini bersesuaian kerana bagi sesetengah murid pintar cerdas, kecenderungan minat mereka lebih kepada keupyaan lisan berbanding penulisan. Dengan adanya pembentangan mereka boleh mengutarakan pemikiran abtrak mereka dengan lebih jelas. Pembentangan juga menggalakkan murid lain untuk belajar dan menanyakan soalan, meningkatkan permerhatian dan menyusun idea-idea kepada pemahaman yang kompleks. Perbincangan dalam kelas, pertanyaan dan berdialog adalah asas mekanisma untuk pertumbuhan kognitif pelajar dan perkembangan metakognitif (McKeachi,1994). semasa sesi perbincagan, guru-guru, mengalakkan serta membantu pelajar untuk membentuk soalan-soalan mereka sendiri, mengawal perbincangan dalam kelas yang melibatkan pelajar yang berkualiti tinggi dan mengadakan aktiviti-aktiviti kemahiran berfikir. Pelajar berkebolehan biasa dan rendah kebiasaannya akan bosan dengan perbincangan intelektual pada tahap tinggi (Feldhusen & Kroll, 1991). Walaubagaimanapun guru boleh belajar untuk menjadi ketua perbincangan yang baik dan mereka boleh menggunakan beberapa teknik yang spesifik (McKeachi, 1994) untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam perbincangan dan keberkesanan. Semasa perbincangan juga, murid dapat berbincang secara terbuka dan ini menggalakkan perkembangan kognitif dan dapat meluaskan ilmu pengetahuan pelajar.
2) Pembacaan dan Kerja Rumah – Guru perlu memilih buku yang lebih abtrak dan komples berbanding buku teks yang dibekalkan di sekolah yang terlalu rendah bagi murid pintar cerdas. Bahan bacaan yag abstrak dan kompleks ini boleh membantu murid memperolehi penguasaan pemikiran. Manakala kerja rumah yang dbekalkan kepda murid pintar cerdas ini perlulah bercirikan metakognitif yang baik. Kerja rumah perlu mengandungi bacaan, jawapan bertulis untuk bacaan, menulis kertas-kertas kerja dan penyelesaian masalah secara kompleks. Walaubagaimanapun guru boleh mengajar kemahiran umum kepada kelas secara berperingkat dengan mempelbagaikan gaya pembelajaran supaya pelajar dapat menguasai kemahiran-kemahiran dalam cara menyesuaikan gaya pembelajaran mereka secara individu.
3) Tugasan – tugasan boleh diberi kepada murid pintar cerdas sama ada secara individu atau pun kumpulan.tugasan yang diberi perlulah menyumbang kepada penyelesaian kepada satu masalah matematik. Ini dapat menguji kemahiran mereka membuat manipulasi, penghubungjalinan, menganalisis dan juga mensentisis sesuatu masalah matematik.Tugasan pula dilihat dapat menggalakkan pembelajaran secara koperatif yang secara tidak langsung akan mejadikan hasil lebih afektif dan produktif, selian dapat meningkatkan minat dan motivasi kepada murid ini.





4.0 Strategi Pengajaran Murid Pintar Cerdas dalam Kelas Biasa

Strategi pengajaran guru perlulah berdasarkan pencapaian tahap murid dari semasa ke semasa dan memberi kurikulum yang baru mengikut tahap yang sesuai kepada setiap murid. Guru harus memantau perkembangan murid dengan teliti. Ini bermakna, guru perlu melakukan banyak penilaian tidak formal melalui pemerhatian dan interaksi dengan murid ketika mereka sedang belajar di samping membina motivasi mereka untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Di dalam kelas biasa guru hendaklah mengenalpasti murid yang pintar cerdas di dalam kelas. Setelah murid-murid ini dikenal pasti, guru akan menyediakan peralatan kurikulum yang berlainan yang lebih tinggi untuk mereka. Senadainya di dalam satu kelas terdapat beberapa orang murid pintar cerdas, guru boleh membuat satu kumpulan khas di kalangan mereka agar membolehkan guru untuk memberi arahan yang berbeza di kalangan mereka. Selain itu, guru perlu melengkapkan diri dan juga peralatan canggih bagi pelajar-pelajar bijak pandai. Ini bermakna, guru-guru perlu menguasai cara pengajaran dan peralatan yang lebih canggih bagi membolehkan mereka mengajar dan membantu pelajar-pelajar cemerlang menggunakan peralatan pengajaran yang canggih.

Bagi murid pintar cerdas pula, kaedah-kaedah tersebut dapat memberi kesan yang baik kepada mereka di mana mereka boleh menggunakan masa yang lebih untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar yang kurang pandai. Pengalaman ini sangat bermakna bagi pelajar-pelajar di mana mereka dapat berinteraksi bersama walaupun dari tahap berbeza dari segi kepandaian dan kebolehan. Bagi guru yang berpengalaman pula, kejayaan semua pelajar dapat dirasai melalui aktiviti-aktiviti bersama tanpa menonjolkan mana-mana pelajar yang terbaik.

Selain itu, menurut Sally (2007) terdapat tiga kaedah mengajar murid pintar cerdas dan iaitu:
1) menyediakan bahan-bahan kandungan pengajaran yang sesuai dan memberi tugasan yang mencabar.
2) memulakan unit pelajaran dengan memilih konsep dalam kurikulum atau disiplin teras, mengenal pasti satu atau lebih generalisasi yang sesuai dan merekabentuk tingkat (tier) pelajaran yang berkaitan dengan generalisasi tersebut. Tingkat pelajaran adalah strategi pelajaran di mana guru mentaksir tahap kesediaan minat, pengetahuan sedia ada dan tahap kemahiran murid-murid dan mengumpulkan mereka mengikut pengajaran dan penghasilan yang sewajarnya seperti dalam lampiran 1 dan 2.
3) guru boleh merancang beberapa latihan yang berlainan yang memfokuskan kepada konsep dan generalisasi yang sama tetapi menggunakan bahan-bahan dan aktiviti-aktiviti pelajaran mengikut aras kesukaran yang meningkat dan semakin kompleks. Disebabkan tahap kesediaan murid di dalam kelas tersebut akan berbeza maka tingkat pelajaran perlu disesuaikan mengikut tahap kesediaan setiap murid. Murid pintar cerdas perlu diberi tahap kandungan aras tinggi untuk menyediakan peluang kepada mereka untuk mencabar diri sendiri.




5.0 Penggunaan Teknologi Bagi Murid Pintar Cerdas
Penggunaan tekonolgi komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik bagi murid pintar cerdas dan berbakat boleh menggalakkan serta menarik minat mereka untuk terus mengembangkan bakat dan kemahiran yang mereka ada. Penggunaan komputer memberi ruang kepada murid pintar cerdas untuk belajar secara kendiri kerana terdapat banyak program matematik yang boleh digunakan untuk membantu murid belaajr dengan bahan bantuan belajar yang berbeza dengan kelas biasa di sekolah. Selain itu, terdapat juga pelbagai program secara dalam talian yang direka khas untuk murid pintar cerdas ini seperti Educational Programme for Gifted Youth di Universiti Standford. Komputer juga boleh dijadikan satu aktiviti pembelajaran yang menarik kerana ia membolehkan murid-murid tersebut belajar mengikut tahap kemampuan dan aras kebolehan mereka.
Pembelajaran melalui komputer bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti penguasaan matematik malah penggunaan komputer juga boleh dijadikan alternatif dalam membantu murid pintar cerdas menjalankan aktiviti dan projek bebas berkaitan sesuatu tajuk dalam matematik. Di Malaysia, perkhidmatan internet telah dibekalkan kepada setiap sekolah. Oleh itu, guru perlu menggalakkan murid pintar cerdas ini menggunakan perkhidmatan internet itu sepenuhnya sama ada di makmal komputer atau pun di pusat akses.
Apa yang penting, penggunaan komputer dilihat sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran yang banyak memberi manfaat kepada murid pintar cerdas kerana ia dapat membantu mereka untuk akses kendiri bagi memperkembangkan kemahiran dan tahap kecerdsasan mereka.


6.0 Mitos atau Tanggapan Salah Terhadap Murid Pintar Cerdas

Seringkali persekitaran membuat tanggapan yang salah terhadap murid pintar cerdas ini. Ibu bapa, guru mahupun masyarakat menganggap bahawa murid pintar cerdas ini merupakan murid yang istimewa. Oleh kerana keistimewaan kepintaran mereka itu, maka murid pintar cerdas ini selalu dianggap sebagai seorang yang lebih matang daripada usianya. Guru atau pun ibubapa menganggap mereka tidak memerlukan bimbingan atau pun pertolongan kerana merasakan bahawa jika mereka benar-benar pintar cerdas, mereka boleh menguruskan diri mereka sendiri. Tanggapan begini adalah salah. Jika murid ini tidak dibimbing maka kepintaran yang mereka ada tidak akan berkembang dengan baik dan akhirnya boleh menyebabkan kepintaran yang mereka perolehi itu tidak bermanfaat.

Selain itu, perkembangan sosial dan emosi murid pintar cerdas sering di anggap selari dengan kepintaran intelektualnya. Murid pintar cerdas sebenarnya memerlukan banyak sokongan dan dorongan dari guru, ibu bapa dan masyarakat dalam berhadapan dengan masalah penyesuian sosioemosi. Sekiranya keperluan sosioemosi ini tidak dapat dipenuhi, pastinya keadaan ini akan menyebabkan murid pintar cerdas menghadapi kemurungan, berasa marah dan kecewa dengan diri mereka dan individu di persekitaran mereka yang dianggap tidak memahami masalah yang mereka hadapi. Di sekolah, guru kaunseling merupakan individu yang berperanan penting dan bertanggungjawab dalam membantu murid pintar cerdas dalam menghadapi masalah ini.

Oleh yang demikian, sokongan dan dorongan yang diberi akan membentuk murid pintar cerdas ini ke arah menjadi individu yang berpemikiran dan berkemahiran tinggi serta bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Seandainya mereka dibiarkan tanpa sokongan, maka mereka akan hanyut dan tidak akan terbentuk menjadi individu yang berguna. Oleh itu adalah ditekankan bahawa kepintaran dan kecerdasan kanak-kanak ini bukan hanya perlu dibangunkan dari aspek intelek semata-mata malah pembangunan akhlak atau spiritual amatlah dipentingkan.

Di sekolah pula, murid pintar cerdas ini sering diminta untuk menunjuk ajar rakan-rakan yang tidak memahami sesuatu isi kandungan yang dijaar di dalam kelas. Latihan sama yang berulang juga kerap diberikan kepada mereka, ini menyebabkan murid pintar cerdas akan hilang minat untuk belajar dan merasa tertekan. Seharusnya murid pintar cerdas ini diberi tugasan yang lebih mencabar bagi isi kandungan yang telah mereka kuasai. Latihan juga perlulah lebih mencabar.


6.0 Kesimpulan

Murid pintar cerdas merupakan satu anugerah. Individu yang pintar cerdas mampu menguasai dan mempunyai kemahiran luar biasa dalam sesuatu bidang. Oleh yang demikian, guru harus memainkan peranan penting dalam mengenalpasti dan mencungkil bakat murid-murid ini. Strategi pengajaran oleh guru perlulah telitik dan sistematik agar dapat menarik minat dan memotivasi dan diri murid ini untuk terus mengembangkan pengetahuan dan kemahiran mereka secara optimum. Tugasan dan latihanyang diberi kepada mereka perlulah yang boleh menstimulasikan pemikiran aras tinggi. Kemahiran pemikiran kritikal dan teknik pembelajaran yang kreatif perlu diterapkan bersesuaian dengan konteks pembelajaran. Guru juga perlu menggalakkan murid pintar cerdas ini untuk berfikir secara berdikari untuk menghasilkan idea-idea baru.
RUJUKAN

Becker, K. A. (2003). History of the Stanford-Binet intelligence scales: Content and psychometrics. Stanford-Binet Intelligence Scales, Fifth Edition Assessment Service Bulletin No. 1. Itasca, IL: Riverside Publishing.

Feldhusen, J. F., & Kroll, M. D. (1991), Boredom or challenge for the academically talented. Gifted Education International, 7(2), 80-81.

Hassan Mohd. Ali Ph.D.(2006). Anak Kita Memang Pintar Cerdas Panduan Membina
Maker, C. J., & Neilson, A. B. (1995). Teaching models in education of the gifted (2nd ed.) Austin, TX: PRO-Ed.

Mckeachie, W. J. (1994). Teaching tips (9th ed.). Lexington, MA: D.C. Health.
Potensi Diri Anak-Anak. Selangor. PTS Millennia Sdn. Bhd
Sally, E. (2007). Implications for gifted education. Gifted Child Quarterly, 51: 119-135.
Sheila Somerlock Ruth. (2001). Meeting the Needs of Gifted Children. Retrieved March 4, 2011, from www.mycinnamontoast.com/gifted.html
Winebrenner, S. & Espeland, P. (2001). Teaching gifted kids in the regular classroom. Minneapolis, MD: Free Spirit Publishing Inc.

Woolfolk, A. (2004). Educational Psychology, 9th edn., Allyn & Bacon, Boston, MA.

No comments:

Post a Comment