Saturday, April 2, 2011

Penulisan: Mengenal Pasti Murid Pintar Cerdas

Pengenalan
Dari istilah persekutuan Amerika Syarikat, maksud pintar cerdas yang ditujukan kepada kanak-kanak,pelajar atau belia adalah mereka yang mempunyai potensi dan pencapaian yang tinggi dari segi bidang seperti intelektual, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan dan juga mempunyai bakat dalam bidang seni dan muzik yang mengagumkan, serta mereka ini memerlukan aktiviti atau perkhidmatan yang lain dari yang lain atau istimewa yang tidak dapat diperolehi di sekolah biasa demi meningkatkan tahap kebolehan mereka.

Defenisi bagi Negara Kanada,pintar cerdas ditakrifkan sebagai suatu darjah keupayaan intelektual yang luar biasa yang memerlukan pengalaman pembelajaran yang berlainan daripada apa yang disediakan di sekolah biasa untuk memenuhi tahap keupayaan akedemik dan potensi mereka. Di England, pintar merujuk kepada 5 peratus teratas dari semua populasi sekolah di dalam bidang akedemik manakala cerdas pula adalah 5 peratus teratas dari semua bidang lain. Pelajar pintar adalah mereka yang memilki kebolehan tinggi untuk 1 atau lebih di dalam subjek akedemik. Mereka ini tidak perlu menjadi pintar untuk semua subjek. Pelajar cerdas pula adalah mereka yang mempunyai kebolehan tinggi dari segi sukan, muzik , lukisan atau seni persembahan.

Merancang pentaksiran
Kita telah memahami ciri-ciri mereka yang pintar cerdas. Pengetahuan ini sangat berguna untuk membantu kita memerhatikan dan memahami diri kita, rakan kita, keluarga kita ataupun mana-mana individu agar dapat mengenalpasti individu-individu terutamanya pelajar kita sama ada mereka benar-benar cerdas atau berbakat. Untuk itu pentaksiran atau penilaian hendaklah dibuat terhadap golongan ini. Menurut Miller (1978) terdapat tiga persoalan yang harus dijawab semasa merancang untuk menjalankan pentaksiran ini.
1. Kenapa hendak dinilai?
2. Apa yang hendak dinilai?
3. Bagaimana hendak menilai?

Kenapa hendak dinilai?
Proses-proses pentaksiran dan penilaian terhadap golongan pelajar ini dibuat dengan tujuan untuk :
1. Mengenalpasti bakat dan kepintaran yang diperolehinya - Di sini , guru juga dapat mengenalpasti kecenderungan mereka ke dalam sesuatu bidang. Selain itu juga dapat mengetahui sejauh mana kemahiran atau bakat yang dimilikinya serta aras kemahiran semasanya. Penilaian hendaklah merangkumi kekuatan dan kelemahan pelajar. Ini adalah sebagai panduan untuk guru menyediakan pengalaman pendidikan dan juga perkembangan sosial pelajar berkenaan.
2. Perancangan kurikulum – Setelah guru mengetahui aras kemahiran semasa dan kecenderungan seseorang pelajar, mudah bagi seseorang guru untuk membuat perancangan kurikulum untuknya. Memang tidak diwujudkan lagi kurikulum khas untuk golongan pelajar seperti ini. Apa yang seseorang guru boleh buat adalah memberikan projek atau aktiviti yang mencabar berbanding rakan sebayanya berdasarkan kepada tahap kemahiran semasa pelajar berkenaan di dalam sesuatu perkara. Dengan kata lain guru akan memberikan kerja yang sesuai dengan kecenderungan pelajar berkenaan.
3. Klasifikasi – Pelajar ini akan diklasifikasi sebagai pelajar berbakat di kalangan rakan sebaya mereka . Jika terdapatnya aktiviti-aktiviti yang bersesuaian maka golongan ini akan dilibatkan berdasarkan kepada kecenderungan mereka.
4. Penentuan program – Program-program yang disediakan mungkin tidak bersesuaian terhadap seseorang pelajar tetapi sesuai dengan pelajar yang lain. Setelah dikenalpasti melalui penilaian dan pentaksiran yang guru jalankan maka mudah bagi guru untuk menentukan program-program yang wajar pelajar ini ikuti.

Apa yang hendak dinilai?
Setelah seseorang guru mengenalpasti pelajar melalui pemerhatian, maka pelajar yang dijangkakan berbakat dan cerdas ini perlu melalui siri pentaksiran dan penilaian yang dapat mengenal pasti bidang atau domain yang dimilikinya. Ini adalah bertujuan untuk memastikan bahawa adakah kemahiran yang dimilikinya didalam sesuatu bidang tersebut adakah bersesuaian dengan umurnya ataupun menjagkau daripada yang sepatutnya. Untu itu seseorang guru perlu mendapatkan pandangan pakar-pakar yang berkaitan dengan bidang-bidang berkaitan.

Bagaimana hendak menilai?
Setelah difahami definisi pintar cerdas dan berbakat dan setelah memahami ciri-ciri pelajar pintar, cerdas dan berbakat (PCB) pendidik boleh mengenalpasti pelajar-pelajar PCB untuk disediakan pendidikan yang sesuai dengan keperluan unik mereka. Terdapat dua tahap didalam proses identifikasi siapakah pelajar yang perlu kepada pendidikan khas pintar cerdas.

a. Tahap pertama
Proses mendapatkan maklum balas dari semua pihak dalam bentuk pencalonan pelajar. Pencalonan boleh dibuat oleh ibu bapa, guru, rakan-rakan, dan diri pelajar itu
sendiri. Pencalonan boleh dibuat dengan menggunakan senarai semak (check-list) dan skala pemarkahan (rating scales).

Pemerhatian Sebagai Satu Cara Pengesanan

Melalui pemerhatian, guru memperoleh pelbagai maklumat mengenai seseorang pelajar. Pemerhatian teliti merupakan faktor penting dalam pengesanan pelajar. Pemerhatian perlu dijalankan berasas matlamat tertentu seperti:
1. Kenapa pemerhatian itu dijalankan?
2. Apakah objektif yang hendak dicapai?
3. Apakah situasi yang sesuai untuk mengumpul maklumat?
4. Apakah fokus perkembangan yang hendak diperhatikan?
5. Siapakah yang diperhatikan?
6. Bagaimana maklumat hendak direkod?
7. Apa yang perlu dilakukan semasa membuat pemerhatian?
8. Berapa lama masa diperlukan untuk membuat pemerhatian?

Langkah-langkah pemerhatian

1. Tentukan perkara yang hendak diperhati
2. Merekod maklumat dengan lengkap
3. Merekod serta merta semasa pemerhatian
4. Rekod fakta yang tepat dan tidak membuat interpretasi


Teknik / kaedah merekod dan membuat pemerhatian.

1. Rekod harian
• mencatat perkembangan murid bagi satu jangka masa yang panjang.
• tertumpu kepada tingkah laku yang baru berbanding yang sedia ada ( perkembangan)
• satu cara yang informal

2. senarai semak ( check list)
• sifat/sikap yang ditonjolkan
• ‘given content’ - sebahagaian daripada tingkah laku itu wujud dalam pemerhatian

3. skala ( rating scale)
• menggunakan skala contoh: cemerlang, sangat baik, baik,s ederhana, lemah


b. Tahap kedua
Proses mengenalpasti bidang-bidang atau domain kecerdasan serta
tahap kecekapan pelajar terbabit dalam bidang tersebut. Pada tahap ini pelajar
yang dicalonkan akan ditaksir oleh pakar untuk menentukan kemampuan pelajar
dalam bidang/domain berkenaan pada ketika itu.
Alat-alat penaksiran termasuklah ujian kecerdasan (IQ), ujian kompetensi, ujian
bagi menentukan domain kecerdasan dengan menggunakan ujian kecerdasan
pelbagai (Multiple Intelligence-MI). Selain itu, pada tahap ini penilaian pakar juga boleh/perlu diambil kira bagi menentukan domain serta tahap kecerdasan seorang pelajar. Contohnya penilaian seorang pelukis untuk menentukan domain bakat dan tahap kecerdasan seorang pelajar yang berbakat dalam lukisan.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
Kanak-kanak pintar cerdas boleh dibantu melalui tiga jenis program: pengasingan, pemecutan (acceleration) atau pengayaan.
1. Pengasingan, - kanak-kanak diasingkan daripada rakan sebaya di mana mereka disediakan kurikulum khas yang mampu menggalakkan kebolehan istimewa mereka. Pengasingan ini bertujuan mengeluarkan kanak-kanak daripada kelas biasa yang tidak dapat membantu perkembangannya secara optima.
2. Pemecutan - boleh dilaksanakan dengan dua cara. Cara yang pertama ialah dimana kanak-kanak ini dikeluarkan daripada bilik darjah mereka untuk subjek-subjek spesifik. Mereka dimasukkan ke kelas pada peringkat lebih tinggi yang sesuai dengan perkembangan mereka untuk subjek tersebut. Maka mereka akan belajar dengan murid atau pelajar yang lebih tua daripada mereka. Cara kedua ialah di mana murid tersebut disediakan dengan rancangan khas dalam kelas yang sama. Rancangan ini membantu mereka belajar sesuatu bidang kemahiran mereka pada kadar yang lebih cepat berbanding dengan rakan sebaya.
3. Pengayaan - pendekatan yang menyediakan pengalaman pengayaan sama ada di dalam kelas atau di luar kelas. Misalnya aktiviti tambahan seperti lawatan ke muzium atau perpustakaan Negara. Selain itu guru boleh merancang projek atau aktiviti lain yang memrlukan murid mencari maklumat yang lebih mendalam tentang sesuatu topik dan dilakukan oleh murid secara bersendirian.





Program-program pengesanan pelajar cerdas dan berbakat.

Penilaian Tahap Satu

Pada tahun 1996, satu bentuk penilaian bagi mengenal pasti pelajar pintar cerdas telah dilaksanakan, yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS). Penilaian ini dilaksanakan ke atas pelajar-pelajar Tahun Tiga sekolah rendah. Pelajar yang berjaya memperolehi tahap maksimum dibenar meneruskan persekolahan ke Tahun 5, tanpa perlu mengikuti persekolahan Tahun 4. Walau bagaimanapun, penilaian ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja. Ianya telah diberhentikan pada tahun 2000.

Ujian Aptitud UPSR

Ujian Aptitud bagi murid tahun enam sekolah rendah mula dilaksanakan pada tahun 2009. Ianya bertujuan untuk mengukur kebolehan semulajadi (innate ability) dan kebolehan yang diperolehi (aquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran pembelajaran. Ujian ini dapat mengenal pasti potensi murid untuk mengikuti pembelajaran dan dapat membantu para guru mengetahui tentang bakat, minat dan kecenderungan diri murid supaya pembelajaran murid lebih mudah dilaksanakan dan dipertingkatkan. Bahasa yang akan digunakan dalam Ujian Aptitud tersebut adalah menggunakan bahasa pengantar mengikut aliran sekolah masing-masing.
Format Ujian Aptitud Tahun Enam merupakan ujian berbertuk objektif aneka pilihan yang mengandungi 61 soalan. Tempoh masa adalah 1 jam 30 minit dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:
a. Bahagian 1: Kemahiran berfikir (20 item)
b. Bahagian 2 : Kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan (20 item)
c. Bahagian 3 : Minat, kecenderungan dan kesedian (21 item)




Program Permata Pintar
Program PERMATA Pintar yang telah dilancarkan pada bulan Mac 2009 di UKM merupakan satu usaha murni bertujuan untuk mengenal pasti pelajar pintar cerdas yang berada di seluruh Malaysia. Ia bertujuan untuk menyediakan satu program yang boleh membina suasana pembelajaran yang dapat merangsang minda mereka untuk terus menjadi insan yang kreatif dan inovatif selari dengan keperluan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Ini adalah satu-satunya program yang dapat membantu anak-anak pintar cerdas untuk terus menerima kaedah pembelajaran yang berbeza bagi membantu mereka menjana pembentukan budaya ilmu baru dan membentuk rasa cinta terhadap pengetahuan sehingga dapat menjadikan mereka khazanah negara yang begitu berharga.
Usaha mengenal pasti pelajar pintar cerdas seterusnya telah dilakukan dengan gigih melalui dua ujian saringan yang ketat iaitu Ujian Permata Pintar UKM 1 dan UKM 2. Semasa di program Perkhemahan Cuti Sekolah untuk kanak-kanak pintar cerdas dengan kerjasama Johns Hopkins University-Center for Talented Youth di Amerika Syarikat, pelajar akan diberikan peluang untuk mengikuti salah satu dari sembilan kursus yang di tawarkan mengikut umur mereka. Kursus-kursus yang ditawarkan adalah seperti Kriptologi, Pengenalan kepada Robotik, Reka cipta, Penaakulan Mantik, Menjadi Saintis, dan pelbagai kursus penulisan yang menggalakkan perkembangan minda yang kreatif. Pelajar telah diasak untuk mencabar minda mereka dan berfikir di luar kotak (think outside the box), menukar cara mereka menyelesaikan masalah dari satu format yang linier kepada penyelesaian yang pelbagai. Justeru, mereka bukan sahaja diasah mindanya supaya menjadi tajam, tetapi juga dibantu membentuk keperibadian unggul agar menjadi insan cemerlang di masa hadapan. Ini memang merupakan satu usaha yang sukar terutama apabila program yang dijalankan mengambil masa hanya tiga minggu sahaja.
Program perkhemahan tersebut juga telah dilaksanakan sebagai satu program pembelajaran yang holistik. Pelajar telah diberikan pelbagai aktiviti rekreasi yang mencabar kebolehan mereka, di samping mendedahkan mereka kepada aktiviti kerohanian, sukan dan kebudayaan. Sementara itu, usaha berterusan telah di rancang bagi menampung minat belajar dan membantu mereka mengatasi kesan "big fish in a little pond" yang biasa dirasai oleh pelajar-pelajar berkenaan dalam suasana sistem pendidikan yang biasa.
Untuk tujuan itu, pihak Pusat PERMATA Pintar Negara yang telah ditubuhkan di UKM telah merancang beberapa aktiviti di antaranya ialah :
i. Mengadakan latihan dalam talian untuk pelajar-pelajar yang telah menghadiri program Perkhemahan Cuti Sekolah pada tahun 2009
ii. Mengadakan Alumni PERMATA Pintar UKM sebagai satu platform pembinaan jaringan antara pelajar pintar cerdas, ibu bapa mereka serta guru-guru yang telah menghadirkan diri dalam program Perkhemahan Cuti Sekolah tahun lepas
iii. Menjalankan program mentoran antara pelajar pintar cerdas tersebut bersama guru pembimbing yang telah dilatih semasa perkhemahan dijalankan
iv. Membina e-mail kumpulan bagi memudahkan setiap pelajar pintar cerdas berhubung antara satu sama lain
v. Menyediakan bulletin bulanan yang akan disebar kepada setiap pelajar, guru, sekolah dan individu yang terlibat bagi memaklumkan perkembangan yang berlaku dalam pendidikan pintar cerdas di Malaysia dan di luar negara.
Walau pun program PERMATA Pintar baru berumur setahun jagung, namun pencapaiannya adalah begitu membanggakan. Oleh yang demikian, satu program pembelajaran yang lebih formal melalui sebuah sekolah yang akan dikenali sebagai Akademi PERMATA Pintar Negara akan dibina. Di dalam Akademi berasrama penuh ini, pelajar akan mengikuti pembelajaran arus perdana seperti pelajar-pelajar lain. Namun, pada masa yang sama mereka juga akan diberi peluang untuk mengambil beberapa peperiksaan antarabangsa seperti SAT, Advance Placement atau O dan A level mengikut kemampuan masing-masing. Ini akan memberikan mereka satu "safety net" yang luas untuk meneruskan pengajian mereka di universiti-universiti terkemuka di dunia. Mereka memerlukan satu sistem pembelajaran unik yang dapat merangsang minat, kebolehan berfikir, motivasi dan rasa ingin tahu yang tinggi. Justeru, satu program khusus perlu dijana untuk terus memapan minat mereka untuk belajar secara berterusan.
Ujian dalam talian UKM1 merupakan saringan pertama untuk mencari pelajar-pelajar pintar cerdas berusia 8 hingga 15 tahun bagi menyertai Program PERMATApintar Negara.
• Pelajar berusia 9-15 tahun untuk program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATA pintar Negara 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia.
• Pelajar beragama Islam berusia 8 tahun (darjah 2 pada tahun 2011) untuk program Permata Insan di Universiti Sains Islam Malaysia.
• Pelajar berusia 15 tahun (tingkatan 3 pada tahun 2011) untuk menyertai program Pendidikan Menengah Tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2012.

Penutup
Penyelidikan membuktikan bahawa guru terbaik untuk kanak-kanak pintar cerdas adalah seorang individu yang juga pernah dikategorikan sebagai pintar cerdas. Ini kerana pendidik sebegini lebih arif tentang kemahuan dan keperluan individu seperti mereka. Jika ibu bapa atau guru merasakan anak atau pelajarnya mungkin boleh dikategorikan sebagai pintar cerdas atau melihat salah satu atau kombinasi ciri utama ini dalam dirinya, maka sebagai ibu dan bapa dan guru anda wajib menghubungi pakar akademik dan pendidikan atau ahli psikologi untuk khidmat nasihat tentang cara terbaik untuk membangunkan potensi dan bakat pelajar tersebut.

by:Ma Noralasikin

No comments:

Post a Comment

Post a Comment