Saturday, April 2, 2011

Laporan Ilmiah Projek Kumpulan

PENGENALAN
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sebagai garis panduan untuk menghasilkan pendidikan berkualiti secara menyeluruh dengan mewujudkan enam teras strategik. Salah satu teras strategik dalam PIPP ialah membangunkan modal insan bermula dari zaman kanak-kanak prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi. Di kalangan pelajar ini terdapat pula sekumpulan individu yang mempunyai kelebihan intelektual berbanding rakan sebaya mereka. Mereka adalah aset negara yang perlu diberi perhatian demi mencapai cita-cita negara untuk menjana modal insan.
Oleh itu, KPM sangat komited bagi menghasilkan generasi berilmu, berkemahiran dan bertanggungjawab terhadap pembangunan pelajar pintar yang bakal menjadi modal insan negara. Oleh yang demikian, setiap perancangan dan pelaksanaan yang akan diusahakan harus berdasarkan wawasan untuk membawa perubahan dan anjakan paradigma dari segi pemikiran, orientasi dan tindakan seluruh negara dalam sistem pendidikan pelajar-pelajar pintar. Kemajuan dan perubahan kehidupan yang dialami kini menjadi satu cabaran yang besar tehadap sistem pendidikan negara ini. Cabaran utama dan kritikal yang dihadapi oleh sistem pendidikan ialah untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti bagi menghasilkan bakal aset negara yang berpotensi, berilmu pengetahuan, berkemahiran dengan kehendak dan aspirasi masyarakat.

Pelajar pintar merupakan khazanah berharga negara yang memerlukan kurikulum khas serta pemantauan yang berterusan agar negara mendapat manfaat. Oleh itu, mereka perlu dikenal pasti melalui proses pencarian terancang supaya tidak tertinggal berbanding pelajar pintar di negara lain. Thailand dan Singapura telah mengadakan sekolah khas manakala Cina dan Australia telah memulakan program bagi pelajar pintar mereka. Adalah menjadi harapan negara agar pelajar pintar dapat menjalani program di Malaysia dan seterusnya dapat memberi khidmat kepada negara.

Isu-isu semasa diperkatakan sekarang adalah lebih menumpukan kepada persoalan apakah perlunya satu usaha yang berterusan ke arah menyediakan bimbingan kepada kanak-kanak pintar ini dan sama sekali tidak membiarkan saja khazanah berharga negara atau permata negara ini berlalu begitu saja. Membimbing pelajar ini memerlukan kurikulum khas dan diiringi pemantauan yang berterusan serta strategi dan kaedah pengajaran yang bersesuaian.

Terdapat pelbagai cara dapat digunakan untuk mempertingkatkan kepintaran dan kecerdasan murid dalam bidang yang ditonjolkannya seperti mengatur program dan menyediakan strategi tentang apa yang hendak diajar. Namun isu perlaksanaan iaitu susunan aktiviti yang dirancang perlu mengikut jangka masa yang ditetapkan semasa pengajaran dan pembelajaran supaya mencapai sasaran yang ditetapkan. Kanak-kanak pintar cerdas sering menghadapi masalah pembelajaran dan juga masalah sosial disebabkan kejahilan serta sikap negatif guru terhadap ciri-ciri pembelajaran serta perbezaan individu dalam melayani keperluan pendidikan pelajar-pelajarnya.

Pengajaran dan pembelajaran matematik bagi murid pintar cerdas perlulah dirancang dengan teliti oleh guru. Strategi pengajaran perlulah menggunakan kaedah dan teknik sesuai yang boleh membimbing dan menggalakkan murid mengembangkan idea dan bakat mereka dan seterusnya dapat meningkatkan kemahiran matematik mereka. Pembelajaran murid pintar cerdas perlu membolehkan murid membuat perkaitan antara satu perkara dengan perkara yang lain sehingga menghasilkan tindak balas yang baru.
Sebagai guru, sesuatu perancangan yang dirangka untuk murid ini perlulah tersusun dan sistematik agar ia dapat menghasilkan percapaian murid secara optimum. Memahami pendekatan dan gaya pembelajaran seseorang murid itu dapat membantu para guru ke arah menghasilkan pengajaran berkesan. Strategi pengajaran yang efektif untuk memaksimakan pencapaian murid tersebut adalah penting. Penyediaan pembelajaran murid pintar cerdas dengan menggunakan bahan dan aktiviti yang menarik dan mencabar dapat menggalakkan kreativiti dan pembelajaran akses kendiri. Ini seterusnya dapat memberi peluang kepada murid membuat pilihan dan keputusan sendiri tentang bahan dan aktiviti yang ingin dilaksanakan. Bagi murid pintar cerdas, guru perlu melibatkan pemikiran cepat murid dalam tugasan intelektual dengan menggalakkan penjanaan idea dan penyelesaian masalah. Aktiviti yang direka guru perlu mencabar kognitif yang dapat mencambahkan idea-idea baru agar pemikiran mereka dapat diperkembangkan. Apabila kognitif mereka dicabar, perkembangan intelektual kompleks akan terhasil dan pemikiran mereka akan pergi ke arah yang lebih jauh.



LATAR BELAKANG KAJIAN

Kajian yang dijalankan adalah berlandaskan teori konstruktivisme untuk mengalakkan murid berfikir secara kreatif dan mampu melakukan modifikasi terhadap kejadiaan alam lalu mentafsirkan dalam bentuk yang telah dipelajari. Mengikut teori ini, ilmu pengetahuan dibina melalui proses saling pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru yang berkaitan. Di bawah proses pembelajaran, pelajar membina ilmu pengetahuan dengan melibatkan dirinya secara aktif, menggunakan cara membanding maklumat baru dengan pengalaman yang sedia ada supaya menyelesaikan sebarang perselisihan yang timbul dengan tujuan mencapai kefahaman terhadap maklumat baru.

Pembelajaran secara konstruktivisme ini adalah penting dalam menggalakkan dan meningkatkan kemahiran murid. Tugasan yang diberikan oleh guru perlulah menggalakkn kemahiran berfikir dan boleh mengembangkan pemahaman murid tentang isi kandungan yang dipelajari mereka. Setiap murid mempunyai tahap pengetahuan dan kemahiran yang berbeza-beza. Oleh itu, guru perlulah bijak dalanm merangka pengajaran dan pembelajaran agar semua murid dapat belajar mengikut tahap kemampuan mereka.

Tugasan yang diberikan kepada murid hendaklah adil kepada meraka. Tugasan yang dibekalkan perlulah menarik minat dan membuatkan murid seronok dalam proses pembelajaran tersebut. Selain itu, oleh kerana di dalam satu kelas terdapat pelbagai tahap kebolehan murid, guru perlu bijak untuk mengenalpasti dan melakukan sesuatu agar kebolehan murid-murid ini akan terus berkembang dan digilap terutama bagi murid pintar cerdas.

Adalah penting bagi murid pintar cerdas ini diberi perhatian oleh guru untuk terus mengembangkan bakar mereka serta melahirkan kemahiran-kemahiran yang pelbagai yang ada dalam diri mereka.


PENYATAAN MASALAH

Kanak-kanak itu ibarat bekas yang kosong dan guru berperanan untuk memenuhkan bekas tersebut dengan ilmu pengetahuan. Guru juga berperanan untuk membimbing kanak-kanak untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Seharusnya kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan membentuk ilmu pengetahuan berdasarkan permainan dan eksperimen dan tidak bergantung sepenuhnya dengan guru. Guru hanyalah seorang fasilitator yang akan memantau perkembangan kanak-kanak dalam mempelajari sesuatu konsep.
Menurut pandangan konstruktivime, kanak-kanak membina pengetahuan barunya dengan sendiri dengan menyesuaikan pengetahuan sedia ada. Melalui konsep konstruktivisme ianya mungkin akan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam pendidikan matematik masa kini. Matlamat pendidikan matematik adalah untuk melahirkan warga yang bukan sahaja berupaya untuk mengaplikasikan apa yang mereka telah pelajari dalam situasi dunia sebenar tetapi juga berupaya menyelesaikan masalah yang belum pernah mereka temui sebelum ini.

Sesungguhnya, kanak-kanak perlu didedahkan dengan pembelajaran secara konstruktivisme. Selain daripada itu, guru juga harus bersedia dengan pelbagai kaedah pengajaran supaya dapat membuka minda kanak-kanak tentang keindahan dan kepentingan pendidikan matematik dalam kehidupan seharian.

Selain itu, setiap individu dilahirkan mempunyai kecerdasan yang pelbagai. Menurut Teori Pelbagai Kecerdasan oleh Howard Gardner, beliau berpendapat setiap orang dikurniakan potensi yang berbeza dalam fitrahnya. Menurutnya manusia mempunyai tujuh
kecerdasan iaitu:
i. Kecerdasan linguistik
ii. Kecerdasan logical-matematik
iii. Kecerdasan visual-Spatial
iv. Kecerdasan muzik
v. Kecerdasan tubuh kinestetik
vi. Kecerdasan interpersonal
vii. Kecerdasan intrapersonal


Murid pintar cerdas biasanya mempunyai kecerdasan melebihi kanak-kanak seusianya. Tahap kecerdasan pelajar amat berperanan dalam menentukan keberhasilan pembelajaran seseorang itu. Di dalam kelas mungkin terdapat satu atau dua orang pelajar yang tergolong dalam kategori pelajar pintar atau pintar cerdas dan ada juga golongan pelajar yang tergolong dalam kategori lemah. Dalam keadaan begini, pelajar yang cerdas akan merasa mereka tidak diberi perhatian yang sewajarnya kerana guru mengajar pelajaran yang senang bagi mereka. Manakala pelajar lemah pula akan merasa tertekan kerana sukar memahami apa yang diajar. Akibatnya, kedua-dua golongan ini akan merasa bosan. Guru perlu peka dalam menangani masalah pelajar seperti ini sama ada berusaha memberi pengayaan kepada pelajar pintar cerdas atau pemulihan kepada pelajar lemah.

Terdapat tiga kaedah mengajar pelajar-pelajar pintar iaitu yang pertama menyediakan bahan-bahan kandungan pengajaran yang sesuai dan memberi tugasan yang mencabar, yang kedua memulakan unit pelajaran dengan memilih konsep dalam kurikulum atau disiplin teras, mengenal pasti satu atau lebih generalisasi yang sesuai, dan mereka bentuk tingkat pelajaran yang berkaitan dengan generalisasi tersebut. Tingkat pelajaran adalah strategi pelajaran di mana guru-guru mentaksir tahap kesediaan minat, pengetahuan sedia ada dan tahap kemahiran pelajar-pelajar dan mengumpulkan mereka mengikut pengajaran dan penghasilan yang sewajarnya.

Keperluan yang ketiga pula ialah, bagi pelajaran atau unit yang diberi, guru boleh merancang dari tiga hingga enam latihan yang berlainan yang memfokuskan kepada konsep dan generalisasi yang sama tetapi menggunakan bahan-bahan dan aktiviti-aktiviti pelajaran yang aras kesukaran yang meningkat dan semakin kompleks. Disebabkan tahap kesediaan pelajar akan berbeza bagi setiap topik, kumpulan pelajar dalam kelas akan berbeza bergantung pada perubahan kurikulum. Tingkat pelajaran menyesuaikan semua pelajar dengan tahap kesediaan individu dan tahap kandungan, dan menyediakan peluang kepada pelajar untuk mencabar diri mereka sendiri.

Kanak-kanak pintar cerdas memerlukan pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk pengayaan, pecutan atau lebih terkehadapan berbanding pelajar biasa. Guru kelas perlu mengetahui apakah keupayaan pelajar pintar cerdas mengenalpasti bentuk kecerdasannya berdasarkan kepintarannya. Tugasan seperti salin-menyalin, menghafal fakta dan latih tubi tidak akan dapat memenuhi keperluan pelajar pintar cerdas sebaliknya ia hanya akan melatih kemahiran motor halus mereka sahaja. Mereka memerlukan cabaran dari segi kualiti bukannya kuantiti.










PROSEDUR PELAKSANAAN :

1. Guru merancang satu pengajaran berstruktur melibatkan aktiviti terancang dalam membina pengetahuan baru.
2. Perancangan hendaklah mengambil kira pengetahuan sedia ada menuju kepada pengetahuan baru.
3. Aktiviti yang dirancang hendaklah dapat membina (konstruk) pengetahuan baru dalam diri murid.
4. Pada akhir aktiviti, murid akan sedar dan memahami konsep serta membina pengetahuan yang mendalam yang dapat membina ingatan jangka panjang.

KELEBIHAN :

1. Murid lebih faham dan jelas akan konsep matematik.
2. Murid dapat mengekalkan ingatan jangka panjang terhadap konsep yang dipelajari.
3. Murid dapat menjana pemikiran kritis dan kreatif.
4. Meningkatkan minat dan keseronokan murid terhadap matematik.












PROJEK 1

PENJANAAN IDEA DALAM KONSEP
PECAHAN
MURID TAHUN 3
SK GALI




MODUL LATIHAN KONSTRUKTIVISME
TAJUK : Pecahan


TAJUK : Nombor
BIDANG : Pecahan
TEMPOH MASA : 1 jam
HASIL PEMBELAJARAN :

1) Murid faham tentang konsep pecahan serta dapat membuat perwakilan pecahan seperti ½ dan ¼.
2) Murid dapat membuat ilustrasi bagaimana pecahan mewakili satu bahagian dari satu keseluruhan.

BAHAN BANTU MENGAJAR :
keratan kertas berbentuk bulatan, segi empat tepat, segi empat sama dan segi tiga berbentuk sekeping piza

SET INDUKSI:
1) Guru menunjukkan beberapa keping keratan kertas kepada murid dan meminta murid-murid memperihalkan kad tersebut.
2) Guru meminta murid meneka apakah yang akan dilakukan dengan keratin-keratan kertas tersebut.


LANGKAH PENGAJARAN:
a) Guru membahagikan murid-murid kepada tiga kumpulan mengikut tahap keupayaan murid-murid tersebut.
b) Langkah ini bersesuaian dengan sesi pengajaran dan pembelajaran berbilang tingkat (tier learning) mengikut tahap keupayaan murid-murid di dalam kelas.

c) Tingkat Pertama (Tier 1)
1. Dengan menggunakan keratan kertas bentuk bulatan (pizza) dan bentuk segi empat sama (sandwich), murid diminta untuk menjelaskan bagaimana untuk berkongsi makanan secara sama rata dengan mengilustrasikannya dengan menggunakan teknik lipatan kertas.

Contoh :




2. Kemudian minta murid fikir bagaimana untuk berkongsi makanan dengan empat orang. Mereka juga boleh menggunting keratan kertas tersebut untuk menentukan adakah setiap bahagian tersebut adalah sepadan. Minta murid ulangi langkah tersebut sekiranya mahu ia dikongsi dengan tiga orang pula.



d) Tingkat Kedua (Tier 2)
1. Dengan menggunakan keratan kertas bentuk bulatan (pizza) dan bentuk segi empat sama (sandwich), murid diminta untuk menjelaskan bagaimana untuk berkongsi makanan secara sama rata dengan mengilustrasikannya dengan menggunakan teknik lipatan kertas.

Contoh :



2. Minta ahli kumpulan menunjukkan cara bagaimana untuk berkongsi makanan dengan enam orang. Kemudiannya langkah tersebut diulang dengan memberi tugasan bagaimana untuk berkongsi dengan 12 orang. Ia boleh dimulakan dengan separuh pizza, kemudian dibahagi 3, 6 dan 12 orang.

d) Tingkat Ketiga (Tier 3)
1. Dengan menggunakan keratan kertas bentuk segita (sepotong pie) dan bentuk segi empat sama (sandwich), murid diminta untuk menjelaskan bagaimana untuk berkongsi makanan secara sama rata dengan mengilustrasikannya dengan menggunakan teknik lipatan kertas. Pada tingkat ini, murid perlu berfikir bagaimana untuk berkongsi makanan dengan tiga cara berbeza untuk mendapat dua bahagian yang sama rata.

Contoh :

2. Adakah cara lain untuk membahagi setiap bentuk secara sama rata? Berapa cara yang dapat dibuat? Minta murid menjelaskan bentuk apa- bulat, segi empat tepat, segiempat sama, segitiga – lebih mudah untuk dibahagi sama rata dan jelaskan kenapa melalui pilihan makanan mereka.


d) Penilaian
1. Sambil murid melaksanakan tugasan, guru akan meninjau dan menilai keupayaan murid dalam melaksanakan tugasan yang diberi. Guru bertanya soalan dan murid menjawab secara lisan dan menjelaskan bagaimana mereka tahu setiap bahagian adalah sama saiznya?
2. Pada ketika ini, guru dapat membuat penilaian yang tepat murid mana yang memerlukan lebih tumpuan dan penjelasan untuk menguasai kemahiran yang diajar.

e) Pengukuhan dan penutup
1. Guru mengedarkan lembaran kerja.
2. Guru membuat rumusan tentang hasil pembelajaran terhadap pelajaran yang telah dijalankan.

RUMUSAN :
Konstruktivisme dapat membina kefahaman yang mendalam pada diri murid melalui pengajaran berstruktur. Guru perlu menyediakan satu aktiviti yang membolehkan murid-murid membina kefahaman sendiri.
PROSEDUR KERJA






















DAPATAN KAJIAN MENGIKUT PERINGKAT

1. Proses Murid Mendapatkan Pengetahuan
Saya selaku guru telah memberikan pengetahuan yang berkaitan dengan topik yang hendak dikaji. Dimana murid akan mengimbas kembali pengetahuan sedia ada berkaitan dengan bentuk seperti yang dipelajari pada tahun 2. Ini kerana, Peringkat awal pemikiran matematik adalah penting, kerana ini akan mempengaruhi persepsi dan sikap kanak-kanak terhadap pembelajaran matematik sepanjang hayat mereka. Ilmu awal dalam bidang matematik juga memainkan peranan dalam bagaimana seseorang membina dan memperolehi ilmu matematik pada masa hadapan. Pada peringkat ini saya mendapati keseluruhan murid masih mengingat topik bentuk dan ruang yang telah dipelajari semasa Tahun 2.

2. Perbincangan Projek

Pada sesi ini murid diminta bersedia dengan projek matematik iaitu ‘ My Breakfast” yang akan dilakukan pada sesi pembelajaran akan datang. Murid diberi penerangan tentang apa yang akan mereka lakukan dan bahan-bahan yang perlu disediakan. Mereka juga sudah mengetahui dengan baik tentang sifat setiap bentuk yang dipelajarai. Murid kelihatan sangat tidak sabar untuk melaksanakan projek ini. Ini menunjukkan bahawa pembelajaran yang menglibatkan penglibatan aktif dari murid sebenarnya adalah sesuatu yang menyeronokkan.



Perancangan dan Perlaksanaan Awal Projek:
Projek ini dilakukan secara individu oleh murid. Ini kerana pada pendapat kami, tugasan secara individu adalah bersesuaian bagi tugasan sebegini dan ia juga memudahkan kami untuk menilai sejauh mana tahap pemikiran dan kemahiran murid berkenaan hasil pembelajaran pecahan. Tugasan ‘My Breakfast’ ini kami dijalankan di dalam kelas tahun tiga Sekolah Kebangsaan Gali. Oleh kerana hanya satu kelas bagi tiap darjah, maka kami telah memutuskan untuk mengadakan tugasan bagi tajuk pecahan kepada tiga tingkat tugasan seperti dalam rancangan mengajar mengikut tahap penguasaan yang berbeza setiap murid. Murid diberi masa satu jam untuk membahagikan bentuk kepada beberapa bahagian seperti dalam rancangan mengajar.

Murid bebas untuk membahagikan bentuk mengikut pecahan yang dikehendaki sema ada dengan cara melipat atau pun memotongnya. Murid diberi ruang dan masa secukupnya untuk menyiapkan tugasan. Adalah amat penting untuk memastikan tiada tekanan semasa menjalankan tugasan kerana ia akan mempengaruhi emosi dan minat murid. Jika masa yang diberikan tidak mencukupi, ini akan membuatkan mereka tertekan dan seterusnya keinginan untuk menyempurnakan tugasan yang diberi bukan lagi satu tugasan yang mereka rasakan menarik tetapi ia akan bertukar kepada satu bebanan.

Tugasan yang saya berikan ini adalah kepada semua murid tahun tiga yang terdiri daripada 24 orang. Tugasan yang diberikan mempunyai 3 tingkat (tier) mengikut tahap penguasaan dan kemahiran murid di mana pada:

a) Tingkat Pertama - murid diberi kertas bulat (pizza) dan segiempat sama (sandwich). Pada peringkat ini, murid diminta berkerjasama bersama pasangan masing-masing untuk memikirkan bagaimana cara untuk berkongsi sama banyak pizza dan sandwich yang diberikan dengan melipat kertas. Kemudian 2 pasangan murid bergabung dan memikirkan bagaimana untuk berkongsi dengan empat orang pula. Murid boleh memotong atau pun melipat kertas yang diberi. Seterusnya murid seramai empat orang akan diminta untuk membahagikan pizza dan sandwich kepada tiga bahagian pula.
b) Tingkat Kedua – murid diberi kertas bulat (pizza) dan segiempat sama (sandwich). Murid beradalah dalam satu kumpulan seramai 3 orang. Murid dikehendaki mengenalpasti cara untuk berkongsi makanan tersebut dengan melipat kertas. Seterusnya dua kumpulan bergabung menjadi 6 orang dan mereka perlu membahagikan makanan sama banyak sesama mereka. Mereka dibenarkan untuk melipat atau menggunting kertas yang diberi. Seterusnya murid seramai 6 orang ini akan diminta membahagikan makanan tersebut kepada 12 bahagian pula. Guru meminta murid membahagikan kepada separuh bahagian terlebih dahulu sebelum membahagi kepada 12 bahagian. Mereka dibenarkan memotong bahagian dan mencantumkannya kemudian.
c) Tingkat Ketiga – menggunakan kertas segiempat tepat (sandwich) dan segitiga (sepotong pizza), murid secara berpasangan diminta mengenalpasti bagaimana untuk berkongsi makanan sama rata sesame mereka. Mereka bebas untuk melipat atau menggunting kertas. Murid diminta menyatakan tiga cara untuk membahagikan kepada dua bahagian bagi setiap bentuk yang diberi.

Ketiga-tiga tingkat tugasan yang diberi ini semuanya menguji kepintaran setiap murid.
3. Pembinaan Bentuk Asas

Sebelum memberikan tugasan My breakfast ini kepada murid, kami telah menyediakan kertas segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga berbentuk seperti sekeping pizza yang menggunakan kertas berwarna warni bagi menarik minat murid. Kertas yang disediakan mempunya saiz yang sama bagi setiap bentuk. Ini adalah untuk keseragaman dan mendapatkan hasil yang sekata. Bahan yang disediakan adalah mencukupi bagi semua pelajar. Selain itu, kertas warna warni yang digunakan adalah nipis bagi memudahkan murid untuk melipat atau memotongnya nanti. Selain itu, guru juga menyediakan bahan lain seperti gunting bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran nanti.

4. Perlaksanaan Tugasan

Tugasan yang diberikan adalah berfokuskan murid di mana murid berpeluang mengaplikasikan apa yang telah dipelajari ke dalam kehidupan harian. Melalui tugasan ‘My Breakfast’ ini, saya dapat mengukur dan menilai tahap kemahiran kompleks murid kerana tugasan ini bukan sahaja tentang apa yang murid tahu tetapi bagaimana murid saya menterjemahkan apa yang telah dipelajarinya.

Ini dapat dilihat dalam tugasan tersebut di mana mereka mengeluarkan pengetahuan pembelajaran mereka berkenaan tajuk pecahan melalui hasil kerja kinestatik iaitu dengan melipat ataupun memotong kertas yang telah diberikan. Semasa aktiviti tugasan dijalankan murid digalakkan mengadakan perbincangan aktif dengan pasangan masing-masing bagi menjana idea-idea.

Dari segi kandungan, tugasan yang diberikan kepada murid ini menepati matlamat pembelajaran yang saya inginkan. Ia adalah adil kepada semua murid kerana setiap daripada mereka memang telah mempunyai diajar terlebih dahulu hasil pembelajaran ini. Murid juga telah diberitahu tentang kepentingan tugasan ini di mana tugasan ini bukan bertujuan untuk memberikan pengredan akhir atau pun membandingkan antara satu sama lain tetapi adalah lebih kepada untuk membantu mereka meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka berkaitan tajuk pecahan.

Murid dilihat begitu seronok semasa menjalankan aktiviti ini kerana aktiviti yang dijalankan tidak memberikan tekanan untuk menghafal atau menjawab soalan-soalan latihan. Mereka bersa seronok mengeluarkan idea masing-masing. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan membantu secara asas sahaja. Semasa aktiviti berjalan, guru tidak menyatakan sama ada apa yang dilakukan betul atau salah kerana apa yang penting ketika melaksanakan tugasan, murid telah mengikut arahan yang diberikan dan membuat tugasan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka telah pelajari.

Dengan adanya tugasan individu ini, ia memberi gambaran sejauh mana pemahaman murid terhadap pembelajaran mereka dan saya juga boleh menilai adakah mereka benar – benar telah menguasai hasil pembelajaran pecahan ini. Hasil yang kami perolehi nanti akan membolehkan kami menggunakan maklumat – maklumat untuk memperbaiki masalah pembelajaran yang dihadapi oleh mereka seterusnya dapat meningkatkan kemahiran dan penguasaan mereka.

Selain itu, oleh kerana pengajaran yang direkabentuk oleh guru ini mempunya tiga tingkat, ia sememangnya adalah untuk melihat sejauh mana kepintaran murid. Melalui aktiviti tingkat ketiga, guru dapat menilai sama ada murid di dalam kelas tersebut merupakan murid pintar cerdas atau pun tidak. Murid pintar cerdas seharusnya dapat menyatakan idea-idea berkaitan pembahagian pecahan dengan baik dan betul. Contohnya seperti tingkat ketiga, murid yang mempunyai tahap kepintaran yang tinggi, akan dapat melahirkan idea-idea yang baik bagaimana untuk menghasilkan tiga cara pembahagian bentuk segiempat tepat dan segitiga melegkung tersebut. Ini kerana bentuk segiempat sama dan bentuk bulat adalah mudah untk membahagikan kepada setengah namun ianya agak sukar jika melibatkan bentuk segiemapt tepat dan segitiga yang mempunya satu sisi melengkung. Untuk membahagikan kepada setengah bentuk-bentuk tersebut, murid perlu berfikir dengan abstrak, kreatif dan lebih mendalam.

Dari segi arahan, guru telah memberikan arahan yang jelas dan berulang kali bagi memastikan mereka benar – benar memahami apa yang perlu mereka lakukan. Selain itu, guru juga memantau hasil kerja murid dari masa ke semasa dan membimbing mereka agar dapat menyiapkan tugasan seperti yang diminta.



5. Pembentangan Tugasan

Setelah murid selesai menyiapkan tugasan, mereka dikehendaki membentangkan hasil dapatan mereka. Tujuan pembentangan ini dilakukan hanyalah untuk memberi peluang kepada murid mempersembahkan hasil dapatan masing – masing disamping berkongsi idea dengan rakan – rakan yang lain. Selain daripada itu, semasa sesi pembentangan, sesi soal jawab yang diadakan juga bukan sahaja antara pembentang dengan guru malah melibatkan semua murid di dalam kelas tersebut. Murid bebas memberikan idea tentang tugasan yang telah mereka lakukan.. Bagi murid pintar cerdas, pembentangan adlaah salah satu cara yang boleh memperkembangkan kemahirna dan bakat mereka.

Guru telah menggalakkan murid pintar cerdas membentangkan sesuatu hasil pembelajaran mereka kerana biasanya murid pintar cerdas ini mampu menggunakan konsep abstrak. Kaedah ini bersesuaian kerana bagi sesetengah murid pintar cerdas, kecenderungan minat mereka lebih kepada keupyaan lisan berbanding penulisan. Dengan adanya pembentangan mereka boleh mengutarakan pemikiran abtrak mereka dengan lebih jelas. Pembentangan juga menggalakkan murid lain untuk belajar dan menanyakan soalan, meningkatkan permerhatian dan menyusun idea-idea kepada pemahaman yang kompleks. Perbincangan dalam kelas, pertanyaan dan berdialog adalah asas mekanisma untuk pertumbuhan kognitif pelajar dan perkembangan metakognitif. Semasa sesi perbincagan, guru-guru, mengalakkan serta membantu pelajar untuk membentuk soalan-soalan mereka sendiri, mengawal perbincangan dalam kelas yang melibatkan pelajar yang berkualiti tinggi dan mengadakan aktiviti-aktiviti kemahiran berfikir.

Bagi aktiviti tingkat ketiga, guru menimbulkan persoalan seperti adakah terdapat cara lain untuk membahagikan kepada setengah bahagian, terdapat berapa carakah untuk membahagikan bentuk segiempat tepat dan segitiga berbentuksekeping pizza kepada setangah bahagian, apakah kesimpulan yang boleh murid buat berdasarkan aktiviti yang telah dijalankan, bentuk manakah yang lebih senang untuk dibahagikan kepada setengah bahagian.

Semasa sesi pembentangan, murid akan membentangkan semua idea-idea mereka dan guru akan member pendapat dan juga membincangkan tentang apakah kesalahan-kesalahan mereka dan membetulkannya di hadapan pelajar lain. Namun cara peneguran dan perbincangan saya adalah terbuka iaitu tidak menekankan atau memalukan pelajar serta saya membenarkan murid lain untuk bersoal jawab.

Selain itu, semasa sesi pembentangan, guru telah mengajak murid berbincang dan mengeluarkan idea dan pendapat masing – masing tentang hasil dapatan mereka. Komen – komen yang diberikan juga adalah membina dan tidak membandingkan antara satu sama lain. Sekiranya guru merasakan terdapat kekurangan, guru menggunakan ayat ‘cikgu rasa mungkin lebih baik jika kamu...’. Guru tidak melakukan perbandingan kerana ia boleh menyebabkan murid malu atau rendah diri dari rakan – rakan yang lain.

Melalui komen – komen yang membina ini, kami percaya ia dapat memotivasikan lagi murid untuk terus belajar dan meningkatkan mutu pembelajaran mereka. Pada pendapat kami, tugasan dan pembentangan ini penting kerana ia membolehkan murid mendemonstrasikan pembelajaran dengan mempersembahkan apa yang mereka tahu, apa yang mereka faham dan apa yang mereka temui dalam melaksanakan tugasan yang diberi. Selain daripada itu, sesi pembentangan dapat meningkatkan sesi dua hala di antara guru dan murid. Guru akan memberikan maklum malas terhadap hasil dapatan mereka. Melalui maklum balas tersebut, murid dapat menilai prestasi sendiri.


6. Post Mortem

Selepas selesai sesi tugasan guru mengadakan perbincangan yang merupakan sesi ‘post mortem’ untuk mengetahui dapatan kajian ini terhadap murid. Mereka menceritakan beberapa masalah yang mereka hadapi sepanjang pelaksanaan tugasan ini. Selain itu, guru dapat menilai keupayaan murid dalam membahagikan bahan-bahan sama banyak. Guru juga dapat melihat sama ada murid dapat memahami konsep sama banyak dalam tajuk pecahan.

Melalui perbincangan pula, guru dapat menilai sama ada murid berkemampuan menerangkan secara lisan berapa bahagian sama banyak yang ada dan juga mendemontrasikan bagaimana mereka mendapatkan hasil jawapan tersebut. Dengan itu, guru dapat mengenalpasti murid yang mana memerlukan lebih penekanan terhadap pemahaman konsep pecahan sama banyak dan murid mana pula memerlukan pembelajaran masteri dan lebih mencabar. Ini penting untuk guru menggunakan sebagai garis panduan semasa merancang projek di masa hadapan.


HASIL DAPATAN TUGASAN MURID

Murid pada mulanya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu seramai 9 orang murid kumpulan lemah dan 15 orang selebih kumpulan sederhana. Bagi kumpulan lemah, murid dibahagikan secara berpasangan untuk membuat tugasan tingkat 1 manakala bagi tingkat 2, murid dibahagi kepada tiga orang satu kumpulan kecil.

Bagi tugasan tingkat 1, didapati kesemua 9 murid tersebut boleh membahagikan bentuk segiempat sama dan bulatan kepada dua bahagian dan empat bahagian sama besar dengan melipat kertas tersebut dan kemudiannya mereka memotong untuk diagihkan setiap satu bahagian masing-masing. Seterusnya hanya seramai empat orang murid berjaya membahagikan segiempat sama kepada tiga bahagian yang sama besar dengan melipat kertas tersebut kepada bahagian yang sama besar dan mengguntingnya. Namun tidak ada seorang murid pun dari kumpulan lemah ini dapat membahagikan bulatan kepada tiga bahagian.

Bagi tingkat dua pula, kesemua 15 orang murid dapat melipat bentuk segiempat sama kepada 3, 6, 9 dan 12 bahagian. Namun hanya 6 orang murid berjaya membuat 3 dan 12 bahagian, dan hanya 3 orang murid berjaya membuat 3, 6 dan 12 bahagian. Tiga orang murid yang berjaya menyiapkan tingkat kedua seterusnya diberi latihan tingkat ketiga. Kesemua mereka juga berjaya menghasilkan tiga cara untuk membahagiakan bentuk segiempat tepat kepada dua bahagian yang sama banyak tetapi hanya tiada seorang murid pun yang berjaya memberi tiga cara menghasilkan dua bahagian sama banyak bagi bentuk segitiga melengkung. Mereka hanya berjaya mendapatkan dua cara sahaja iaitu melipat bentuk segitiga tersebut.

Semasa perbicangan guru menanyakan soalan bagaimana mereka menyiapkan tugasan yang diberi dan kenapa pula mereka tidak dapat menyiapkan tugasan. Murid menyatakan adalah susah untuk membahagi bentuk yang tidak lurus. Hasil dapatan murid ditunjukkan dalam lampiran.


REFLEKSI

1. Murid terlibat secara aktif dalam pelaksanaan kedua-dua aktiviti ini. Murid sangat seronak dan teruja terhadap pembelajaran sepanjang projek berlangsung. Ini secara tidak langsung dapat menyemai minat murid terhadap matematik dan mereka mula merasakan belajar matematik adalah seronok seperti mempelajari muzik dan seni lukis.
2. Pengalaman yang mereka lalui sepanjang pelaksanaan projek ini akan dapat menguatkan ingatan mereka terhadap isi pembelajaran yang telah mereka pelajari.
3. Murid dapat mengumpulkan maklumat dengan cara akses kendiri. Ini dapat dilihat secara aktif dalam projek yang dilaksanakan bersama murid Tahun 3. Murid berinisiatif untuk melipat dan memotong bahagaian-bahagian untuk mendapatkan bahagian yang sama banyak antara mereka.
4. Murid berusaha sendiri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi semasa dan hanya mendapatkan bantuan guru apabila mereka benar-benar buntu atau pun sebagai untuk kepastian sahaja.
5. Oleh kerana tugasan melibatkan kumpulan - kumpulan yang kecil, maka semua murid terlibat secara aktif dalam tugasan ini

No comments:

Post a Comment