Saturday, March 19, 2011

Perkembangan kanak-kanak pintar cerdas

Profesor Michael Howe adalah di antara ahli akademik bertaraf dunia yang mengkaji fenomena kepintar-cerdasan. Dalam bukunya yang bertajuk ‘Genius Explained’, Profesor Howe menggariskan beberapa perkara yang perlu kita ketahui tentang kanak-kanak pintar cerdas atau genius dan apakah cara terbaik untuk menyokong perkembangan mereka sepenuh potensi diri.

Menurut Profesor Howe, kanak-kanak pintar cerdas bukanlah suatu fenomena genetik yang berlaku secara tidak teratur. Dalam erti kata lain, kanak-kanak yang pintar cerdas serta berbakat tidak lahir dengan semulajadi secara rawak dan kerana sifat genetik mereka yang lebih hebat berbanding orang lain.

Seperti yang pernah kita bincangkan dahulu tentang tumbesaran dan perkembangan, salah satu daripada persoalan yang masih cuba dijawab oleh saintis sosial dan pakar yang mengkaji perkembangan adalah di antara faktor genetik dan semulajadi serta faktor bimbingan dan didikan, yang mana satu lebih bermakna dalam proses pembangunan diri manusia?



Faktor genetik pengaruhi kepintar-cerdasan?
Jika kita hanya berpegang kepada faktor dalaman seperti genetik, ia bermakna kanak-kanak pintar cerdas sudah menjadi pintar cerdas sejak saat kelahiran. Bagaimanapun, idea ini ditentang oleh kajian ekstensif Profesor Howe kerana menurutnya, kanak-kanak menjadi pintar cerdas hasil dari bimbingan dan didikan ibubapa dan guru yang berada di sekeliling mereka sedari lahir dan semasa waktu kritikal iaitu zaman pra-formal di antara 0-6 tahun.

Mungkin kerana faktor ini juga, pada hari ini terlalu banyak pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mempromosi program pendidikan atau bahan pengajaran yang menurut mereka boleh ‘melahirkan’ anak genius. Dengan kos yang tidak kecil, percambahan program seperti ini bagaimanapun masih belum menampakkan hasil yang kukuh kecuali mungkin untuk menambah pendapatan mereka yang mempromosinya.

Yang pasti, untuk menjadikan anak anda seorang yang pintar cerdas bukan suatu perkara yang mustahil. Tetapi, ramai yang tidak tahu bahawa tahap sokongan yang diperlukan untuk membentuk anak pintar cerdas di peringkat pra-formal adalah terlalu sukar dan agak mustahil untuk diusahakan.

Memaksa si kecil, bukanlah caranya!

Malah, terdapat satu paradoks yang mungkin menggagalkan usaha ibubapa untuk menjadikan anak mereka seorang genius. Semakin kanak-kanak dipaksa untuk menyukai sesuatu, besar kemungkinan mereka semakin membenci perkara tersebut. Contohnya, kerana ingin anak anda menjadi pewaris Bill Gates atau Nicole David anda memaksanya menyukai komputer atau ‘mengurung’ anak kecil itu di gelanggang skuasy.

Jangan terkejut jika perkara yang sebaliknya terjadi kerana minat semulajadi adalah di antara kriteria utama yang perlu diselidik oleh ibubapa yang mahu menjadikan anak mereka genius. Jika minat si kecil adalah sebaliknya, bimbingan dan didikan yang diberi hanya akan membuat si kecil benci kepada anda!

Seperkara lagi yang perlu disebut di sini, tidak wujud suatu formula atau buku panduan mudah yang boleh diikuti untuk menjadikan anak anda seorang yang pintar cerdas. Kajian sains sosial membuktikan bahawa zaman pra-formal adalah waktu kritikal untuk membentuk minda genius, tetapi selain itu apa yang perlu dilakukan agak kabur.

Malah paksaan oleh ibubapa sahaja tidak mencukupi dan mungkin membuat si kecil terus memberontak dan tidak mahu lagi melakukan apa yang disuruh. Contohnya, sudah ramai kanak-kanak yang benci dan marah kerana mereka dipaksa belajar muzik oleh ibubapa mereka sedangkan mereka langsung tidak meminati bidang itu.

Mungkin ada seorang dua yang dapat menjadi ahli muzik ‘prodigy’ pada usia muda hingga mereka menjadi terkenal di peringkat antarabangsa, hasil pendedahan dan faktor paksaan ibubapa mereka. Tetapi, potensi mereka tetap akan terbatas kerana minat semulajadi dalam bidang muzik tidak wujud dalam diri mereka.



Dorongan dan sokongan pemangkin kepintar-cerdasan

Seperti frasa Inggeris, membentuk minda genius bukan suatu ‘exact science’ atau sains yang jitu. Tidak ada buku, formula atau program dan juga ubat yang boleh dibeli semata-mata untuk menjadikan anak anda pintar cerdas. Jangan terlalu percaya kepada program ala motivasi yang memakan belanja yang banyak tetapi sememangnya tidak mampu dan tidak akan dapat membentuk anak pra-formal anda menjadi seorang genius.

Yang lebih utama adalah dorongan dan sokongan dari ibu dan bapa yang berempati dan dapat menyedari keistimewaan anak kecil mereka. Ibubapa yang memberikan ruang kepada anak mereka untuk berkembang sepenuh potensi diri adalah ibubapa yang boleh membentuk minda genius.

Bagaimanapun, kejayaan mereka kelak tidak boleh diambil dan ditiru bulat-bulat kerana semua kanak-kanak amat berbeza dari segi minat dan personaliti mereka. Hanya anda yang dapat menilai kemampuan anak kecil anda dan kemudian melakukan apa yang dirasakan perlu untuk membangunkan potensi dirinya!

Kanak-kanak pintar cerdas sebenarnya bukan suatu fenomena yang aneh dan pelik. Mereka wujud di seluruh dunia dalam setiap kelompok masyarakat manusia.

Lazimnya, kanak-kanak ini dilihat sebagai suatu anomali atau keganjilan kerana pemikiran mereka yang pintar dan cerdas serta bakat besar yang mereka miliki berbanding rakan sebaya mereka atau orang dewasa yang mempunyai lebih banyak pengalaman tentang kehidupan. Setiap kali seorang anak kecil ‘pintar cerdas’ ditemui, media massa akan berlumba untuk membuat liputan tentang si kecil yang ganjil berkenaan.

Penyelidikan intensif oleh saintis sosial di luar negara mendapati bahawa ciri utama kepintar-cerdasan akan mula kelihatan di peringkat pendidikan pra-formal iaitu dari waktu kelahiran hingga umur enam tahun. Kerana inilah di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Russia, pendidikan pra-formal amat diberatkan.

Rakyat di negara itu percaya mereka perlu membuat pelaburan yang banyak dalam pendidikan pra-formal demi melahirkan lebih ramai kanak-kanak yang pintar, cerdas serta berbakat besar. Malah, ada tabika dan tadika di negara berkenaan yang berkepakaran dalam mengenal-pasti serta melatih kanak-kanak pintar cerdas!

Terdapat enam ciri utama kepintar-cerdasan yang boleh diambil sebagai kayu pengukur untuk mencari kanak-kanak yang pintar, cerdas dan berbakat di peringkat pendidikan pra-formal. Mereka selalunya menunjukkan pencapaian yang luar biasa di tabika dan tadika dalam salah satu atau kombinasi ciri utama berikut.



Pertama: Kebolehan intelektual am
Ciri pertama adalah kebolehan intelektual am, yang lahir tanpa disedari oleh ibubapa dan guru pra-sekolah atau terbit melalui galakan dan latihan yang diberikan oleh mereka. Kebolehan intelektual am ini lazimnya mempunyai tahap kemajuan antara empat hingga lima tahun mental ke hadapan atau mungkin mencapai hingga sepuluh tahun mental, walaupun umur fizikal kanak-kanak berkenaan hanya di tahap lima atau enam tahun.

Sebagai contoh, seorang anak kecil yang berumur lima tahun mengetahui banyak perkara tentang fakta sains, geografi, sejarah dan sebagainya walaupun dia tidak didedahkan secara meluas kepada subjek berkenaan. Pengetahuan am yang banyak ini kadangkala boleh menandingi atau melepasi kemampuan orang dewasa, lebih-lebih lagi jika ia bersesuaian dengan minat semulajadi kanak-kanak terbabit.

Kedua: Kecenderungan akademik khusus

Ia juga berkait rapat dengan ciri kedua untuk mengenalpasti kanak-kanak pintar cerdas iaitu mereka yang mempunyai kecenderungan akademik yang khusus walaupun pada umur fizikal setahun jagung. Kanak-kanak lazimnya masih belum membuat pengkhususan minat mereka di peringkat pra-formal.

Oleh itu, sukatan pendidikan di peringkat pra-formal memberikan banyak ruang serta kebebasan tanpa sekatan dan tekanan. Sebagai contoh, kanak-kanak di tadika diajar bagaimana untuk melukis dengan bebas, menyanyi atau menari dalam gerak kerja aktif, disamping peluang untuk mereka belajar membaca, menulis dan mengira di tahap asas.

Diharapkan mereka akan mula menunjukkan minat dan bakat semulajadi apabila mereka masuk ke sekolah rendah atau menengah. Tetapi bakat dan minat kanak-kanak pintar cerdas akan mula menyerlah walaupun umur mereka masih di antara empat hingga enam tahun kerana kebolehan untuk memberi fokus kepada sesuatu subjek atau cabang ilmu.



Ketiga: Pemikiran kreatif-produktif

Ciri ketiga pula adalah corak pemikiran yang kreatif dan produktif. Kerana minda kanak-kanak biasa masih belum boleh memberi fokus dan tumpuan kepada sesuatu perkara, agak sukar untuk mereka lari dari pemikiran linear dan konvergen. Contohnya, untuk setiap masalah yang diberi mereka hanya boleh berfikir tentang satu jalan penyelesaian, walaupun ada banyak cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Kanak-kanak pintar cerdas pula boleh membuat penilaian pelbagai satah (apa yang saya gelar ‘multi-axes reasoning’) iaitu suatu corak pemikiran yang membantu otak melihat sesuatu keadaan atau situasi dari pelbagai dimensi dan sudut, walaupun mereka tidak menerima latihan spesifik dari ibu, bapa atau guru pra-sekolah.

Sebagai rumusan, ciri utama kepintar-cerdasan amat berkait-rapat antara satu sama lain dan semua ciri ini lahir secara semulajadi dalam diri kanak-kanak. Sayangnya, hanya sebilangan kecil yang benar-benar menjadi pintar cerdas apabila mereka mampu membangunkan potensi diri melangkaui umur fizikal mereka.

Pada masa yang sama kanak-kanak biasa sebenarnya boleh dilatih untuk menambah tahap intelektual am, dipaksa membuat pengkhususan cabang ilmu atau diajar untuk berfikir secara kreatif dan produktif agar mereka boleh mula menunjukkan ciri kepintar-cerdasan. Bagaimanapun usaha dorongan dan sokongan ini perlu dilakukan dengan amat berhati-hati agar mereka tidak pula marah dan membenci proses pendidikan pra-formal.

Keempat: Kebolehan untuk memimpin
Untuk menyambung perbincangan kita, ciri keempat si kecil yang pintar cerdas adalah dia mempunyai suatu kebolehan istimewa untuk memimpin rakan sebayanya dan mempengaruhi mereka. Ciri ‘extrovert’ ini jelas dalam aktiviti bermain atau semasa tiada orang dewasa yang memerhati contohnya semasa waktu rehat atau siesta di tadika.

Jika kanak-kanak tidak diberikan aktiviti atau permainan untuk mengisi masa mereka, lazimnya si kecil yang pintar cerdas akan cepat mengurus teman-temannya dan mempelawa mereka bermain seperti kejar-kejar atau menyorok. Nilai kepimpinan yang tinggi juga bererti kanak-kanak pintar cerdas sentiasa berempati dengan perasaan orang lain.

Dia tidak terlalu cepat menyisihkan anak kecil lain yang mungkin tidak disenangi, malah si pintar cerdas akan mengambil insiaitif penyatuan untuk memastikan semua teman tadikanya akan selalu bersama dan bekerjasama dalam apa jua aktiviti bermain yang dilakukan.

Kelima: Nilai estetika dan kesenian

Ciri kelima yang ada dalam jiwa kanak-kanak pintar cerdas adalah kebolehan untuk menilai dan menghargai nilai estetika dan kesenian, malah ada di antara mereka yang menunjukkan bakat besar dalam penghasilan karya seni asli di waktu kanak-kanak normal masih cuba meniru atau menyalin karya seni orang lain seperti kartun atau lukisan corak.

Kesenian juga membawa erti seni muzik dan persembahan kerana ada kanak-kanak pintar cerdas yang digelar ‘prodigy’ kerana mereka boleh memainkan alat muzik seperti biola atau piano lebih cekap dari orang dewasa.

Walaupun rata-rata umur mereka masih kecil dan mereka hanya belajar di tadika, kanak-kanak sebegini mempunyai kehebatan luar biasa untuk mengenal nota muzik malah ada yang mampu mencipta karya muzik sendiri!

Menurut kajian, kemahiran seni yang luar biasa akan mula terlihat di zaman pra-formal kerana pada waktu itu, kanak-kanak boleh mengawal otot dan pergerakan mereka dengan lebih cekap untuk memegang berus lukisan atau kunci piano. Mereka hanya perlu pendedahan dan mereka akan termotivasi untuk meninggikan tahap kemampuan dalam bidang seni yang diceburi.



Keenam: Keterampilan dan keyakinan diri

Ciri kepintar-cerdasan terakhir yang boleh dilihat pada zaman pra-formal adalah memiliki keterampilan diri dan tahap keyakinan yang tinggi dibandingkan dengan rakan sebaya. Si kecil pintar cerdas sememangnya unik kerana dia yakin kepada kemampuan dirinya.

Bayangkan, di tadika semasa kanak-kanak lain masih malu untuk berinteraksi atau sedikit was-was untuk melakukan aktiviti yang disuruh oleh guru, kanak-kanak pintar cerdas boleh ‘membawa diri’ dengan sempurna. Mereka mampu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling setelah mereka membuat pemerhatian awal.

Berikan sahaja masa dan si kecil pintar cerdas mampu menjadi kanak-kanak yang paling disenangi atau mungkin juga dikagumi oleh guru di tadika. Yang penting pada waktu ini adalah banyak pendedahan dan juga ruang untuk berkembang tanpa kawalan disiplin yang terlalu ketat atau tekanan yang tidak munasabah.

Seperkara lagi yang mesti disebut, penyelidikan membuktikan bahawa guru terbaik untuk kanak-kanak pintar cerdas pra-formal adalah seorang individu yang juga pernah dikategorikan sebagai pintar cerdas. Ini kerana pendidik sebegini lebih arif tentang kemahuan dan keperluan individu seperti mereka.

Akhir kata, jika anda merasakan anak kecil anda mungkin boleh dikategorikan sebagai pintar cerdas atau anda melihat salah satu atau kombinasi ciri utama ini dalam dirinya, maka sebagai ibu dan bapa anda wajib menghubungi pakar akademik dan pendidikan atau ahli psikologi untuk khidmat nasihat tentang cara terbaik untuk membangunkan potensi dan bakat anak kecil anda.

No comments:

Post a Comment